ISMAIL beramah mesra dengan penerima  Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli 2016, semalam.
ISMAIL beramah mesra dengan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli 2016, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan membina lebih banyak Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA), di setiap zon bagi membantu pembangunan pendidikan mereka.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PIPOA selaras dengan hasrat kerajaan membantu pembangunan pendidikan masyarakat luar bandar dan pedalaman terutama pelajar Orang Asli.

“PIPOA di Rompin, Pahang beroperasi pada 2012 dan di Terengganu dalam masa terdekat, selain membuka dua PIPOA di Perak bagi zon utara serta di Johor untuk zon selatan.

“Kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memastikan PIPOA dilengkapi kemudahan bilik bacaan, perpustakaan, asrama dan dewan makan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli 2016, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil langkah meningkatkan tahap pendidikan pelajar Orang Asli dengan memperkemas hubungan dan kerjasama dengan rakan kerjasama seperti Kementerian Pendidikan.

“Peranan agensi di bawah kementerian seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus digembleng bagi meningkatkan akses masyarakat Orang Asli terhadap pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, PIPOA juga memberi pendedahan awal dan latihan intensif menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Ketika ini, PIPOA Rompin menerima kemasukan 190 pelajar dan keputusan PT3 tahun lalu, seramai 21 daripada 27 calon PIPOA dapat keputusan 5A ke atas.

“Kementerian juga meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada JAKOA supaya memastikan 15 pelajar Orang Asli dapat dihantar ke luar negara setiap tahun,” katanya.

Tahun lalu, 18 pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan MARA.

“Sehingga kini, 797 pelajar Orang Asli sedang menuntut di Universiti Awam (UA) dalam pelbagai jurusan dan ini membuktikan masyarakat Orang Asli mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, kementerian memandang serius isu keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli di negara ini.

Oleh itu, kementerian memperuntukkan bantuan RM17.5 juta untuk pengangkutan, bantuan persekolahan dan wang saku pelajar untuk tahun ini bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan secukupnya.

Sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli 2016, pihaknya meraikan sebanyak 183 pelajar yang cemerlang dalam UPSR, PT3, SPM dan juga STPM.

“Jika ini diteruskan, saya yakin pelajar Orang Asli akan menjadi pencabar dalam sektor pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:57 AM