Suraya Roslan


ANAK kepada pemandu lori sampah dianugerahkan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 bagi kategori bawah 40 (B40).

Pelajar itu, Nuraini Jalaluddin, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Saban, Pengkalan Hulu, Perak berkata, dia bersyukur dengan pengiktirafan itu selepas memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dan 5A.

“Tidak sangka usaha saya bersengkang mata untuk belajar akhirnya membuahkan hasil. Saya akan jadikan pengiktirafan ini sebagai pemangkin semangat untuk lebih cemerlang ketika melanjutkan pelajaran kelak,” katanya ketika ditemui dalam majlis pengumuman keputusan STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, bapanya adalah pemandu lori sampah di Majlis Daerah Pengkalan Hulu manakala ibunya seorang suri rumah pasti berbangga dengan kejayaan itu.

“Dengan mempunyai pelajaran saja dapat mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik. Bapa sudah 33 tahun memandu lori sampah dan akan bersara bulan depan, saya mengharapkan dia dapat berehat dan menikmati usia tua selepas ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar terbaik STPM 2019 kategori Orang Asli, Aimi Mahad, 20, berharap cita-citanya menjadi seorang guru akan tercapai.

“Saya mahu menjadi guru untuk membangunkan anak Orang Asli supaya cemerlang dalam pelajaran.

“Diharap dengan kejayaan ini dapat dijadikan contoh buat kaum Semai yang lain untuk membaiki kehidupan keluarga,” katanya.

Dia yang juga kaum Semai dari Kuala Lipis, Pahang memperoleh PNGK 3.84 dan 5A.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 1:31 PM