Roselan Ab Malek


Lipis: Kerajaan memberikan jaminan akan menyediakan kemudahan bekalan air, elektrik dan perumahan bagi masyarakat Orang Asli di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan berjumlah RM11.08 bilion disediakan tujuan pembangunan di perkampungan Orang Asli di pedalaman dan luar bandar supaya mereka berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dalam sektor ekonomi dan pendidikan seperti kawasan lain.

"Kerajaan akan memberikan keutamaan kemudahan bekalan air dan elektrik serta pembinaan rumah yang tersusun supaya mereka berpeluang serta selesa bekerja dan menikmati pembangunan ekonomi setempat.

"Menerusi peruntukan yang besar ini, kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga tetap memberikan kemudahan pendidikan kepada anak Orang Asli khususnya supaya mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negeri,"katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyasarkan sekurang-kurangnya seramai 400 orang pelajar Orang Asli dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tahun ini.

"Bagi pelajar yang berjaya diterima masuk ke universiti, kerajaan akan memberikan inisiatif sebanyak RM1,000 setiap seorang sebagai galakan atas kejayaan tersebut.

"Saya yakin di bawah pengurusan dan pemantauan Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Datuk Mohd Nor sasaran berkenaan tercapai berbanding seramai 300 orang pada tahun sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, KKDW juga melantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor khusus untuk menumpukan perancangan pendidikan Orang Asli bagi melahirkan lebih ramai pelajar kaum berkenaan melanjutkan pelajaran ke universiti luar negeri.

"Beliau (Ramli) adalah tokoh yang sesuai dan tepat untuk merencana pembangunan pendidikan Orang Asli supaya lebih ramai melanjutkan pelajaran ke luar negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 8:07 PM
AHMAD Zahid bersama Menteri Besar Pahang, mencuba alatan tenun ketika membuat lawatan ke Pusat Tenun Diraja Pos Betau, Kuala Lipis. FOTO Farizul Hafiz Awang.
AHMAD Zahid bersama Menteri Besar Pahang, mencuba alatan tenun ketika membuat lawatan ke Pusat Tenun Diraja Pos Betau, Kuala Lipis. FOTO Farizul Hafiz Awang.