GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Hakim Negara dan bekas Peguam Negara sependapat bahawa tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani provokasi melampau dan kebencian rakyat di negara ini.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata undang-undang sedia ada di negara ini sudah memadai bagi mengekang hal yang menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

"Pada pandangan saya, tidak perlu undang-undang baharu. Yang sedia ada sudah memadai, khususnya Akta Hasutan 1948," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu Mohamed Apandi diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu membabitkan 3R.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan mengenainya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, menegaskan bahawa negara sudah mempunyai Akta Hasutan 1948 bagi menangani pelbagai isu 3R yang timbul di negara ini.

"Itu pun banyak yang hendak batalkan Akta Hasutan. Malah, saya dah biasa tegur atas Akta Hasutan," katanya.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata negara mempunyai banyak undang-undang untuk menangani hal membabitkan isu 3R.

Katanya, isu yang timbul bukanlah disebabkan undang-undang sebaliknya komitmen kerajaan untuk menggunakan undang-undang dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar isu 3R.

"Yang cakap pasal 3R bukan seorang, ramai. Tapi undang-undang sedia ada sudah mencukupi," katanya.

Mengulas mengenai pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengikut Akta Hasutan, Abu Talib, berkata kedudukan semua orang di sisi undang-undang adalah sama rata.

Katanya, sama ada pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi adalah terpilih atau tidak, itu hanyalah tekaan.

"Hanya sebab beliau (Muhammad Sanusi) adalah pembangkang, kita tidak boleh cakap ini adalah pendakwaan terpilih.

"Sesuatu pertuduhan itu dibuat mengikut fakta, berdasarkan apa yang beliau katakan dan lakukan….Namun pada masa yang sama, pihak berkuasa harus bersikap adil, tangkap orang pukul 3 pagi, sedangkan tiada bukti bahawa beliau akan melarikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 2:40 PM