PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir menjelang hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N40 Kota Anggerik dan N41 Batu Tiga di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir menjelang hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N40 Kota Anggerik dan N41 Batu Tiga di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kuala Lumpur: Hari ini bermula secara rasmi proses pilihan raya untuk enam negeri bagi memilih kerajaan baharu masing-masing, dan ahli politik serta pemerhati menjangka bahang pemilihan pada 12 Ogos ini lebih hangat berbanding pilihan raya terdahulu.

Mereka melihat pilihan raya negeri (PRN) membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai pengukur penerimaan rakyat terhadap keputusan pilihan raya umum pada November tahun lalu yang membawa kepada penubuhan kerajaan perpaduan.

Justeru, tidak menghairankan jika sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN kali ini turut menyaksikan parti bertanding menggunakan pelbagai taktik untuk menarik sokongan rakyat, termasuk membangkitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi raja).

Sekalipun ada pemimpin politik diambil tindakan undang-undang kerana menyentuh isu 3R, penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi percaya isu itu terus dimainkan calon bertanding pada PRN di enam negeri terbabit kerana 3R adalah perkara dekat dengan rakyat.

Sehubungan itu katanya, setiap parti bertanding perlu mengeluarkan garis panduan yang harus dipatuhi calon dan pemimpin mereka, agar lebih berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan ketika berkempen.

"Isu 3R boleh dimainkan tetapi ada batasnya, tidak boleh menyentuh perkara sensitif membabitkan kaum, agama dan institusi raja, jadi mereka yang berkempen perlu berwaspada.

"(Lebih-lebih lagi) kerajaan (persekutuan) kali ini nampaknya sangat tegas tentang isu 3R apabila ada pemimpin didakwa (di mahkamah), barangkali kerana (aspek 3R) membabitkan keharmonian negara," katanya.

Ketegasan kerajaan persekutuan dalam menangani isu 3R turut dicerminkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menekankan keperluan mewujudkan unit khas bagi mengendalikan sebarang kenyataan provokatif berkaitan agama, kaum dan institusi raja sepanjang PRN.

Pada Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, jemaah menteri bersetuju Akta Hasutan 1948 disemak semula, khusus bagi melindungi institusi raja daripada dijadikan bahan provokasi.

Sementara itu, pensyarah kanan Program Sains Politik, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Jamaie Hamil berkata, sudah tiba masanya akta khusus tentang 3R diwujudkan bagi menangani sebarang provokasi dicetuskan pelbagai pihak, pada bila-bila masa.

Beliau melihat undang-undang khusus penting kerana akta sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 didapati sukar menangani isu 3R disebabkan ketiadaan takrifan jelas.

"Akta sedia ada boleh menguatkuasakan hukuman ke atas kesalahan membabitkan isu 3R, namun usaha itu memerlukan proses dan masa panjang dalam perdebatan di mahkamah kerana definisi kurang jelas, malah ada kebarangkalian berlaku konflik," katanya.

Menurut beliau, hal itu boleh diatasi dengan undang-undang baharu yang bukan sahaja mempunyai takrifan jelas dan menyeluruh tentang perkara yang menyentuh sensitiviti 3R, tetapi menggariskan jenis hukuman bersesuaian.

Katanya pewujudan undang-undang baharu itu bukan bermaksud kerajaan mahu menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bertujuan menjaga batas dan keharmonian negara, terutama ketika pilihan raya.

Beliau melihat potensi istilah 'demokrasi' disalahgunakan jika tiada kawalan dan sempadan jelas diwujudkan dalam konteks 3R.

"Kalau dalam demokrasi tiada kawalan dan sempadan serta tiada ruang lingkup jelas, istilah 'demokrasi' itu boleh disalahgunakan oleh mereka yang tidak puas hati dengan kekalahan dalam pilihan raya ataupun pertandingan.

"Contohnya, mereka boleh guna platform media sosial untuk menjadikan 3R sebagai modal apabila tidak puas hati dengan keputusan majoriti yang tidak berpihak kepada mereka," katanya.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza, dan berkata, akta sedia ada seperti Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mencukupi bagi mengekang provokasi 3R.

Beliau bimbang berlaku pertindihan bidang kuasa jika undang-undang baharu itu diwujudkan.

"Apabila ini berlaku, yang terbeban pada akhirnya adalah media. Semakin lama, semakin susah kita (media) beroperasi," katanya, menambah sebelum 2018, organisasi media di negara ini tidak menikmati kebebasan penuh.

Bagaimanapun kata beliau, selepas 2018, institusi media di negara ini memperoleh sedikit 'kesegaran' yang diberikan kerajaan persekutuan waktu itu.

Sehubungan itu, kata Johan, kerajaan semasa tidak harus menoleh ke belakang dan perlu menerima hakikat media memainkan peranan sebagai mulut, mata dan telinga dalam menyampaikan keluh-kesah masyarakat kepada pihak berwajib, tanpa berselindung.

"Mana-mana kerajaan perlu terima hakikat media harus menyuarakan pandangan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 7:01 AM