FIRDAUS Idris (kanan) menyampaikan bantuan awal kepada bapa saudara mangsa Mohammad Adli Abdul Khairi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
FIRDAUS Idris (kanan) menyampaikan bantuan awal kepada bapa saudara mangsa Mohammad Adli Abdul Khairi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


"KAMI tidak salahkan sesiapa, (sama ada) pemilik sawah, pemandu lori atau sesiapa sahaja. Kami pasrah," kata Mohamad Adli Abdul Kairi, 44, bapa saudara kepada kanak-kanak enam tahun yang maut dalam kemalangan di Kampung Parit Haji Taib 2, Bagan Serai, semalam.

Dalam kejadian itu, Auni Marissa Norman meninggal dunia di lokasi manakala, ibunya, Siti Fauziah Abdul Kairi, 34, dan bapa saudara, Muhammad Hafiz Mohd Adli, 21, parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh belakang lori.

Kemalangan dipercayai berlaku disebabkan asap tebal daripada pembakaran jerami padi yang mengehadkan penglihatan mangsa.

Mohd Adli berkata, keluarga mereka reda menerima takdir itu dan jenazah Auni Marissa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tinggi, kira-kira 10 malam semalam.

"Adik saya, Siti Fauziah dirawat di Hospital Taiping dan mungkin dibenarkan keluar hospital hari ini, sementara anak saya (Mohamad Hafiz) selesai menjalani pembedahan Subuh tadi (hari ini)," katanya ditemui, hari ini.

Mengulas kemalangan itu, Mohamad Adli berkata, adik serta anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar kunci rumah inap desa milik keluarga di Parit Haji Ismail 1.

Katanya, mereka hanya 300 meter untuk tiba di pekarangan rumah apabila kemalangan berlaku yang menyebabkan Auni Marrisa maut disebabkan kepala terkena batang besi di belakang lori.

"Anak Siti Fauziah berusia lapan bulan yang dalam pangkuannya juga lemas terhidu asap tetapi sempat dikejarkan ke klinik," katanya.

Terdahulu, keluarga Mohamad Adli menerima kunjungan wakil Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Nood Azmi Ghazali yang hadir memberi bantuan dan sokongan moral.

Berita berkaitan

  • Kanak-kanak maut, motosikal langgar lori sebab asap jerami [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 3:11 PM