Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan sedang melengkapkan Akta Imuniti yang bertujuan melindungi negara daripada sebarang kemungkinan tuntutan oleh pihak asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akta itu masih dalam peringkat draf.

"Itu masih dalam draf," katanya ringkas ketika ditanya media yang ditemui selepas beliau menyampaikan Ucaptama di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi membentuk akta imuniti dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

ANWAR menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan Putrajaya. FOTO Asyraf Hamzah
ANWAR menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan Putrajaya. FOTO Asyraf Hamzah

Azalina dilaporkan berkata, penggubalan akta itu amat penting kerana isu kedaulatan hak wilayah dan persempadanan negara tidak boleh diambil mudah serta dipandang ringan.

Terdahulu pada 13 Mac, kerajaan dilaporkan sedang menyiasat kemungkinan wujud 'tali barut' dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan mendakwa waris Sulu bagi mendapatkan pampasan ke atas Sabah.

Dalam laporan media itu, Azalina dilaporkan tidak menolak kemungkinan 'orang dalam' menjadi dalang dalam kes berkenaan, berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka ke atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 1:46 PM