Amir Abd Hamid


KERAJAAN sedang kaji penggubalan undang-undang khusus bagi menangani kes menghina mahkamah di Malaysia sama seperti diwujudkan Singapura, yakni Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, usaha menggubal rang undang-undang itu sudah dirintis sejak 2010, yang menyaksikan draf mengenainya siap tiga tahun kemudian.

"(Ketika ini) Jabatan Peguam Negara sedang melaksana kajian perbandingan undang-undang di India, United Kingdom, Singapura dan beberapa negara lain.

"Pada 2016, draf undang-undang ini sudah di peringkat pengesahan bahagian penggubalan akta tetapi setahun kemudian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 yang membabitkan peruntukan menghina mahkamah, iaitu Seksyen 3(1)(c)," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

DATUK Takiyuddin Hassan ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Takiyuddin Hassan ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat.

Takiyuddin berkata, kerajaan juga akan mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh yang berkaitan.

"Oleh itu perkara ini dikaji semula untuk diselaraskan dengan pindaan (yang sudah) dibuat. Tindakan perlu kerana buat masa sekarang, tiada undang-undang khusus di Malaysia bagi menangani kes menghina mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 3:51 PM