Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa waris kepada kesultanan Sulu terhadap negara ini adalah serangan yang sofistikated.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu turut menggelarkan tuntutan dibuat ini satu seni perang baharu yang menggunakan elemen kewangan.

"Seperti mana yang kita tahu Kerajaan Malaysia terbabit dalam pelbagai perniagaan…perniagaan sikit, perniagaan yang besar.

"Jadi, mungkin mereka nak mewujudkan kegusaran. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa kita kena matikan segala gerakan yang dilakukan oleh mereka dari aspek biaya dan tuntutan," katanya pada sidang media kes Malaysia-Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, mahkamah rayuan di Belanda menolak permohonan lapan individu yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan penganugerahan (award) sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang dimenangi mereka terhadap kerajaan Malaysia.

AZALINA  ketika sidang media di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.  FOTO Eizairi Shamsudin
AZALINA ketika sidang media di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia. FOTO Eizairi Shamsudin

Selain itu, Mahkamah Rayuan Perancis juga mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan tuntutan penganugerahan kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan juga akan membuat satu kajian mengenai tindakan yang perlu dibuat terhadap pihak yang mendakwa waris kepada kesultanan Sulu seperti mengambil tindakan saman dan sebagainya.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut menegaskan hanya kerajaan yang stabil sahaja dapat menyelesaikan serangan dibuat ini.

Selain itu, Azalina memaklumkan, pihaknya akan membentuk sebuah akta imuniti yang dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini bertujuan melindungi negara daripada sebarang kemungkinan tuntutan oleh pihak asing.

"Saya beritahu Kabinet pada Oktober ini kita nak wujudkan akta ini iaitu kalau negara disaman kena ada prosedur lain," katanya.

Menyentuh mengenai wujudnya rakyat Malaysia yang menjadi dalang terhadap tuntutan ini, Azalina berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat perkara itu.

"Saya tak dapat beri komen sebab mereka masih dalam siasatan. Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud) sudah buat laporan, jadi PDRM dalam siasatan.

"Itu kerja PDRM dan kita tunggu hasil daripada siasatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 3:42 PM