Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kebimbangan terhadap peningkatan jenayah susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) dijamin tidak berlaku.

Ia kerana, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan hukuman gantung di negara ini masih lagi wujud memandangkan kerajaan hanya memansuhkan hukuman mati mandatori.

"Tiada (kebimbangan), hukuman gantung masih ada tetapi ia tidak diputuskan dalam undang-undang secara automatik.

"Ia harus didengar oleh hakim dan saya rasa ia lebih adil," katanya ketika ditanya media mengenai kebimbangan pemansuhan Akta 846 akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Anwar ditemui media selepas menyampaikan Ucaptama di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) pada 4 Julai lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh dipetik berkata pemansuhan itu bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.

Anwar Ibrahim selepas menghadiri Majlis Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim selepas menghadiri Majlis Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 1:31 PM