GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Seorang wanita warga emas disyaki menyimbah asid ke arah sepasang suami isteri dan anak mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan sekitar Rawang, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia lingkungan 60-an ditahan jam 4.20 petang tadi.

"Tangkapan sudah dibuat ke atas suspek namun punca kejadian kita akan cuba dapatkan selepas permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang warga emas bersama suami dan anaknya yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, di sini baru-baru ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu yang mengaku sebagai kenalan mangsa.

Video berkenaan memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 8:53 PM