Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes remaja perempuan cedera disimbah asid di Denai Alam, di sini, 8 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, siasatan kes itu masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek.

"Setakat ini seramai 12 individu dirakam percakapan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek. Sebarang perkembangan termasuk tangkapan suspek akan dimaklumkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, bapa mengharapkan keadilan buat anaknya yang melecur 70 peratus di muka dan badan akibat disimbah asid tanpa sebarang motif.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal sebelum dihampiri seorang penunggang p-hailing yang menyimbah cecair asid ke arahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 12:21 PM