SEORANG wanita bersama suaminya melecur akibat disimbah asid individu tidak dikenali.
SEORANG wanita bersama suaminya melecur akibat disimbah asid individu tidak dikenali.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: "Saya nak tahu siapa yang buat dan kenapa…apa salah mak sampai sanggup buat macam ini?".

Itu luahan Nora, anak bongsu kepada Jamilah Sabda, 60, yang menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali selepas ibunya selesai berniaga kira-kira 1 pagi, di sini, Selasa lalu.

Nora berkata, ibunya seorang yang baik hati dan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa sepanjang enam tahun mengusahakan kedai roti nan bersama bapa tirinya di Jalan Sungai Tua, Kampung Laksamana, di sini.

"Mak saya layan semua orang dengan baik, dia lurus orangnya…orang buat macam mana pun dia akan layan dengan baik.

"Sebelum ini saya selalu pesan pada dia untuk berhati-hati sebab dia selalu balik berniaga awal pagi kan…tak sangka jadi macam ini.

"Bila jadi macam ini dia dah trauma sampai kami sekeluarga nak tidur malam pun dah tak lena sebab takut," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini hari ini.

Nora berkata, ibunya yang dibenarkan keluar dari hospital malam semalam mengalami pedih berterusan di bahagian mata kiri dan cedera melecur di lengan akibat simbahan asid.

Katanya, bapa tirinya warga Pakistan melecur di bahu kanan sehingga ke belakang badan dan muka.

Menurutnya, sebelum serangan asid itu kedai mereka berniaga hampir musnah dalam kebakaran yang didakwa akibat perbuatan khianat pada 9 Jun lalu.

"Selepas terbakar hari itu ibu dah habis ribuan ringgit untuk baiki segala kerosakan dan sempat berniaga seminggu sahaja sebelum diserang.

"Saya harap pihak polis tangkap orang yang lakukan perkara ini untuk keselamatan kami.

"Perancangan masa hadapan setakat ini kami akan teruskan berniaga di sana tetapi mungkin akan upah orang lain jaga kedai," katanya.

Semalam Harian metro melaporkan, seorang warga emas bersama suami dan anaknya menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, di sini, Selasa lalu.

Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu mengaku sebagai kenalan mangsa.

Video berkenaan memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa ketika mereka sekeluarga menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah seorang wanita tempatan yang masih bebas dan pihak polis giat mengesannya

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 2:59 PM