Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. FOTO TULAR
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. FOTO TULAR
Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah air panas oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Rajawali I-Park, di sini, hari ini.

Mangsa yang berusia 33 tahun itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 20 saat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, mangsa tidak bekerja dan OKU Sindrom Down namun boleh bertutur dengan baik.

Katanya, menerusi laporan dibuat adik mangsa di Balai Polis Bayan Lepas, lelaki itu disimbah dengan cecair disyaki asid oleh seorang wanita sejurus lelaki malang berkenaan menaiki lif.

"Rawatan di HPP mengesahkan lelaki terbabit melecur di sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan bukan disebabkan simbahan asid tetapi air panas.

"Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jafri berkata, kejadian berkenaan berlaku di dalam lif ketika mangsa mahu pulang ke rumahnya di tingkat 16.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, hanya mangsa dan suspek sahaja berada dalam lif itu ketika kejadian.

"Polis sudah mengenalpasti suspek wanita yang disyaki tinggal di kejiranan mangsa namun belum ada tangkapan dibuat.

"Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek dan tidak pernah ada perselisihan faham," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, rakaman video tular berkenaan memaparkan ruangan dalam lif yang dinaiki seorang wanita memakai baju putih, seluar hitam dan bercermin mata.

Mangsa kemudian dilihat masuk ke dalam ruangan lif itu sebelum wanita terbabit mengeluarkan botol lalu menyimbahkan cecair terhadap mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 9:29 PM