EWON (tengah) diiringi Ramanan (empat dari kiri) dan Hazimah (empat dari kanan) menunjukkan menu Gloria Jean’s Coffees ketika majlis pelancaran semula Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurter di Menara Pernas, Kuala Lumpur.
EWON (tengah) diiringi Ramanan (empat dari kiri) dan Hazimah (empat dari kanan) menunjukkan menu Gloria Jean’s Coffees ketika majlis pelancaran semula Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurter di Menara Pernas, Kuala Lumpur.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Pernas dan syarikat milik penuh Pernas, Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) akan melabur sebanyak RM62 juta bagi menambah 50 outlet Gloria Jean's Coffees dan 100 outlet 1901 Frankfurters menjelang 2029.

Pelaburan itu juga adalah di bawah pelan perniagaan strategiknya bagi tempoh lima tahun bermula 2024 sehingga 2029.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah selaras dengan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (D-PUF 2030) yang kini sedang dimuktamadkan untuk memastikan ekosistem keusahawanan francais di negara ini berkembang dengan lebih teratur dan berstruktur.

Katanya dengan jumlah unjuran pulangan jualan sebanyak RM1.8 juta setahun bagi Gloria Jean's Coffees, dan RM600,000 setahun untuk 1901 Frankfurters, ia bakal mencipta sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

"Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

"Saya berharap ini akan menjadi titik tolak yang penting dalam mencetuskan minat masyarakat terhadap keusahawanan francais sekali gus menyumbang ke arah pencapaian aspirasi kerajaan madani dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran 'Flagship Store' 1901 Frankfurters dan Gloria Jean's Coffees di Menara Pernas di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh, Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MyFranchise, Ahmad Jeoffrey Aladib.

Ewon berkata dasar D-PUF 2030 itu juga sejajar dengan kerangka ekonomi Madani khususnya dalam membangunkan ekonomi negara melalui industri francais.

Beliau berkata, jemaah menteri bersetuju dengan pemusatan ekosistem francais melalui aspek tadbir urus dan kawal selia industri francais di bawah Akta Francais 1998 (Pindaan 2020) diletakkan di bawah KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan menjadi lebih holistik.

"KUSKOP sentiasa menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh Pernas terutamanya dalam usaha untuk memacu keusahawanan francais dan menjadikannya sektor perniagaan bernilai tinggi," katanya.

Menerusi pelan perniagaan strategiknya, MyFranchise akan membina ekosistem keusahawanan menyeluruh meliputi penambahbaikan rantaian bekalan (central kitchen), logistik, pemerkasaan pemasaran dan rangkaian bahan mentah.

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, bermula dari 1969 sehingga kini, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melalui pelbagai bentuk evolusi dan transformasi signifikan untuk memajukan industri francais dan keusahawanan di Malaysia.

Menurutnya, transformasi ini membabitkan aspek pengurusan, operasi, strategi, dan pendekatan yang lebih dinamik dan efektif untuk memupuk ekosistem keusahawanan dan francais yang bersepadu, menyeluruh dan kondusif.

"Ekosistem ini yang dilengkapi rangkaian nilai menyeluruh dan disokong oleh teknologi digital, akan memastikan industri francais di Malaysia terus berkembang secara berkesan dan berdaya saing.

"Kami memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program baru untuk mempercepat pertumbuhan industri francais Malaysia, sama ada melalui kerjasama antarabangsa, pengembangan produk dan jenama tempatan untuk pasaran global, serta menyediakan sokongan pembiayaan terutamanya kepada usahawan baru yang ingin berjinak dalam dunia francais.

"Dengan itu, MyFranchise ditubuhkan pada 2 Ogos 2001, untuk mengenal pasti dan melabur dalam syarikat francais tempatan yang berpotensi untuk berkembang di peringkat global, mengembangkan perniagaan francais baharu, serta melabur dalam Syarikat Francais Utama dan mendapatkan Hak Francais Utama antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan pendekatan yang berfokus pada inovasi digital, ekosistem francais Malaysia akan mampu bersaing di peringkat global dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Justeru, pembukaan outlet flagship 1901 Frankfurters dan Gloria Jean's Coffees adalah manifestasi daripada inisiatif progresif MyFranchise selama bertahun bagi mengembangkan dan memperluas jaringan francais di negara ini.

"Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kedua-dua jenama ini menunjukkan ketahanan yang luar biasa.

"Prestasi memberangsangkan ini diharapkan boleh menjadi pemangkin untuk meningkatkan penyertaan usahawan dalam industri francais.

"Selain itu, pencapaian jenama 1901 Frankfurters dan Gloria Jean's Coffees sehingga ke hari ini patut dijadikan inspirasi sama ada kepada mereka yang sudah berada dalam industri ini atau generasi usahawan baru untuk berkembang dan berjaya dalam arena perniagaan francais," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 6:50 AM