Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kerajaan negeri menyasarkan potensi jualan bagi sesi padanan perniagaan dalam Karnival Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Zon Selatan 2023 mencapai RM12 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu berikutan kejayaan potensi jualan memberansangkan pada pengajuran tahun lalu yang mencatat potensi jualan RM7.32 juta.

"Pada tahun ini potensi jualan disasarkan adalah RM12 juta bagi sesi padanan perniagaan dalam tempoh empat hari penganjuran Minggu PMKS 2023 Zon Selatan ini dengan membabitkan 200 sesi padanan bersama pasar raya tempatan dan luar negeri.

"Saya berharap peningkatan potensi jualan ini dapat melonjakkan pasaran produk dan perkhidmatan rantaian perniagaan di Negeri Melaka untuk pergi lebih jauh dan dapat dipasarkan ke seluruh negeri dan juga di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu PMKS 2023 Zon Selatan bersempena Minggu Usahawan Negara anjuran SME Corp, di sebuah pasaraya di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

 Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasmikan Karnival Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Zon Selatan 2023. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasmikan Karnival Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Zon Selatan 2023. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Ab Rauf berkata, penganjuran dan sambutan Minggu PMKS 2023 Zon Selatan menjadi sebahagian aspirasi Kerajaan Negeri menerusi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 bagi memastikan negeri ini menjadi pilihan pelabur di samping memperkasa aktiviti pembangunan usahawan.

Menurutnya, selaras hasrat itu pelbagai bantuan disalurkan kerajaan negeri khususnya dalam sektor keusahawanan seperti Dana Bantuan Kasih Niaga yang diuruskan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka.

"Tahun ini dana RM500,000 diperuntukkan kepada seramai 500 usahawan dan kerajaan negeri akan memastikan peruntukan ini dapat memberi manfaat kepada seluruh ekosistem keusahawanan di Melaka," katanya.

Karnival selama empat hari itu menyediakan pelbagai program menarik untuk orang ramai, khususnya usahawan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor termasuk Jualan RAHMAH dan Jualan MADANI pelbagai jenis barang dapur pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 9:44 PM