Pasukan penyelamat berdoa selepas melakukan solat hajat di lokasi kawasan pencarian mangsa. Foto ihsan BOMBA
Pasukan penyelamat berdoa selepas melakukan solat hajat di lokasi kawasan pencarian mangsa. Foto ihsan BOMBA
Rosli Ilham


Chukai: Pasukan mencari dan menyelamat mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman mengadakan solat hajat di lokasi kejadian.

Ia disertai 30 anggota penyelamat kumpulan satu di sektor A itu selepas selesai solat Zohor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (JBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Zailani Abdullah yang mengimamkan solat hajat terbabit berkata, inisiatif itu dilakukan termasuk melaungkan azan di kawasan pencarian.

Katanya, seramai 250 pasukan penyelamat bertungkus-lumus dengan memerah keringat untuk memastikan mangsa terakhir, Putri Nor Fatin Karim, 14, dijumpai.

"Selain pencarian di kawasan tebing sungai dan selaman, pasukan penyelamat juga turut menadah doa agar pencarian mangsa terakhir ini dipermudahkan.

"Kami mengadakan solat secara bergilir - gilir bila kami solat, sebahagian anggota lain melakukan pencarian dan selepas itu tiba pula giliran mereka untuk solat," katanya.

"Semua mangsa yang hilang ini kita anggap seperti keluarga kita sendiri dan kami harap sangat adik (Putri Nor Fatin) ditemui segera," katanya.

Setakat ini, usaha pencarian Putri Nor Fatin masih menemui jalan buntu.

Dalam kejadian sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu terkorban dalam tragedi yang berlaku, kira-kira jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 3:40 PM