Asrol Awang

Kuantan: Datuk dan nenek Putri Nor Fatin Karim, 14, tidak putus berdoa supaya jasad cucu kesayangan mereka itu yang hilang dalam tragedi fenomena kepala air Jeram Air Putih di Kemaman, Terengganu, segera ditemukan.

Eiyi Johari, 60, dan Halimah Kasim, 63, bersama ahli keluarga lain turut melakukan solat hajat dan akan meneruskannya selagi Putri Nor Fatin tidak ditemukan.

"Kami akan terus menunggu dan kini bergilir-gilir ke Kemaman (lokasi kejadian) dan kemungkinan saya juga akan akan berada di sana esok.

"Saya harap cucu segera ditemukan dan dapat disemadikan bersama bapa, ibu dan adik beradiknya di sini (Felda Lepar Hilir 3)," katanya ditemui di kediamannya di Felda Lepar Hilir 3 di sini, hari ini.

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan replika cek kepada Eiyi Johari (kiri) selepas Majlis Tahlil, di Masjid Ubbudiah Lepar Hilir 3. FOTO Farizul Hafiz Awang
AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan replika cek kepada Eiyi Johari (kiri) selepas Majlis Tahlil, di Masjid Ubbudiah Lepar Hilir 3. FOTO Farizul Hafiz Awang

Sementara itu, Halimah berkata, keluarganya terharu dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk melawat mereka.

Baginda berkenan mencemar duli melawat waris mangsa tragedi kepala air itu di Masjid Ubbudiah, Felda Lepar Hilir 3.

Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa selain turut berkenan untuk bersama pada majlis tahlil yang diadakan di masjid itu yang turut dihadiri kira-kira 300 penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:43 PM