FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Projek pembinaan sungai tiruan bernilai RM300 juta yang bertujuan mengurangkan risiko banjir terutama di daerah Kemaman dilaksanakan awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembinaan sungai tiruan bagi mengurangkan bencana banjir di beberapa kampung di bandar Chukai sejauh kira-kira sembilan kilometer akan dilakukan selepas kerja pengambilan balik tanah penduduk selesai.

Katanya, projek pembinaan sungai tiruan bermula daripada Kampung Paman ke ke Tasik Bungkus di Ibok, dijangka mengambil masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memberi kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) untuk kerja melebarkan sungai tiruan sejauh 250 meter dengan ketinggian dua meter.

"Projek pembinaan sungai tiruan apabila siap dijangka dapat meminimumkan pertembungan air sungai Air Putih dan sungai Cerul yang terletak di Hulu Kemaman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, banjir besar yang melanda di daerah Kemaman sehingga menenggelam dan merosakkan kediaman penduduk ketika bencana banjir tahun lalu berpunca daripada pertembungan air terutama apabila berlaku fenomena air pasang besar.

"Pertembungan air yang berlaku menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Chukai seperti Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Tempurung tenggelam ketika bencana banjir melanda tahun lalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri berkata, Terengganu dijangka dilanda hujan lebat ketika musim monsun Timur Laut mulai akhir bulan ini.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah.

"Kita menjangkakan berlaku peningkatan taburan hujan sehingga 3,600 milimeter (mm) tahun ini berbanding hanya 3,000 (mm)

"Jika taburan hujan turun antara 300 dan 400 mm sehari, situasi banjir mungkin akan berlaku seperti di Gunung Jerai, Kedah, iaitu berlakunya banjir disebabkan kepala air," katanya.

Hanafiah berkata, sehingga kini taburan hujan di negeri ini adalah sebanyak 2,000 mm dengan kadar 80 mm sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:30 PM