Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Sebanyak 22 lokasi perkelahan dan rekreasi di lima daerah di Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda kepala air.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad berkata, ia membabitkan kawasan air terjun, sungai dan lata yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Beliau berkata, ia membabitkan kawasan di daerah Besut (empat), Setiu (empat), Hulu Terengganu (lima), Dungun (lima) dan Kemaman (empat).

"Kepada masyarakat yang ingin melaksanakan riadah atau berehat di kawasan perkelahan sama ada dikawasan air terjun, jeram atau pantai hendaklah sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan tidak berkunjung ke lokasi berisiko.

"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, ia memungkinkan berlakunya kepala air dan bahaya kepada masyarakat untuk melaksanakan aktiviti riadah terutamanyadi kawasan air terjun atau jeram," katanya.

ANGGOTA pasukan penyelamat meneruskan operasi SAR dua lagi mangsa pada hari kelima tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kampung Seberang Tayor. FOTO GHAZALI KORI
ANGGOTA pasukan penyelamat meneruskan operasi SAR dua lagi mangsa pada hari kelima tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kampung Seberang Tayor. FOTO GHAZALI KORI

Mohd Khairiri berkata, orang ramai yang berkunjung ke kawasan rekreasi air diingatkan supaya berwaspada terhadap empat petanda awal fenomena kepala air.

Beliau berkata, terdapat beberapa petanda fenomena kepala air seperti bunyi deruan air yang kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air menjadi berbuih serta membawa sampah dan peningkatan paras air secara mendadak.

"Jika pengunjung dapat mengenal pasti satu daripada petanda awal itu, mereka akan sempat menyelamatkan diri sekiranya fenomena kepala air berlaku," katanya.

Setakat hari ini, terdapat sebanyak 18 kematian akibat lemas direkodkan dengan lapan daripadanya membabitkan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini.

Media sebelum ini melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dilaporkan datang berkelah di Jeram Air Putih di sini sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Setakat ini, lapan daripada 10 mangsa sudah ditemukan manakala dua lagi iaitu Putri Nur Fatin Karim,14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 6:12 PM