TAN Sri Azam Baki. FOTO Aizuddin Saad
TAN Sri Azam Baki. FOTO Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa wujud budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan akan menyiasat dakwaan itu dengan sewajarnya.

"Berhubung dakwaan rasuah yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, SPRM akan menyiasat perkara berkenaan.

"SPRM akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat perkara itu sewajarnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azam berkata, orang ramai juga digesa untuk tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini.

Semalam, Ting menyifatkan tindakan beliau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membongkar 'peristiwa' memalukan.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Ting mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

"Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara," katanya dipetik.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM, semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 4:22 PM