Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan tindakan Datuk Seri Tiong King Sing menceroboh masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu, bersifat politik atau matlamat peribadi.

Presidennya Jais Abdul Karim berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang mendakwa wujud rasuah di kalangan pegawai imigresen itu seharusnya memberi penjelasan lebih tepat kepada rakyat mengenai niat sebenar beliau.

"MCW berpendapat wujud maksud tersirat di sebalik kontroversi tindakan itu.

"Walaupun terdapat dakwaan mengenai amalan rasuah yang serius membabitkan pegawai imigresen, tidak semestinya insiden itu mewakili keseluruhan situasi dalam kes ini.

"MCW mendesak supaya menteri itu memberikan penjelasan yang lebih berasas dan bukan cuba mengalih perhatian rakyat dengan mempolitikkan isu rasuah di KLIA," katanya tadi,

Kelmarin, King Sing dilapor menyifatkan tindakan beliau membabitkan insiden seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini di KLIA, membongkar 'peristiwa' memalukan.

King Sing dilaporkan berkata, wujudnya budaya rasuah segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Mengulas lanjut, Jais berkata, tindakan King Sing menceroboh masuk tanpa sokongan ketua setiausaha kementerian adalah tindakan kurang profesional dan tiada kuasa mencampuri urusan keselamatan negara.

Beliau berkata, menteri terbabit sepatutnya berbincang atau melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

"Sekiranya benar berlaku rasuah, sepatutnya dilaporkan terus kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini adalah bidang kuasa SPRM untuk siasatan yang profesional dan tegas," katanya.

Selain itu, katanya, faktor keselamatan di pintu masuk utama negara tidak boleh dikompromi mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (Akta 298).

Kata beliau, sudah menjadi tugas pegawai imigresen untuk memeriksa kedatangan pengunjung berdasarkan faktor keselamatan yang tidak boleh dikompromi dan kehadiran menteri terbabit sebanyak tiga kali juga amat mencurigakan dan perlu disiasat polis.

MCW berharap isu itu dapat ditangani secara bijak dan telus dengan memberi perhatian kepada semua aspek terutama penilaian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi serta memperhalusi keperluan penterjemah di kaunter imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:42 PM