TIONG King Sing mengaku menceroboh masuk balai ketibaan KLIA.
TIONG King Sing mengaku menceroboh masuk balai ketibaan KLIA.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima satu laporan polis dibuat orang awam berhubung tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menceroboh masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan polis daripada orang awam.

"Laporan itu dibuat meminta siasatan dijalankan susulan mendakwa seorang menteri menceroboh KLIA.

"Tindakan sedang diambil dan belum mengklasifikasikan kertas siasatan yang akan dibuka," katanya kepada Harian Metro malam ini.

Semalam, Tiong menyifatkan tindakan beliau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membongkar 'peristiwa' memalukan.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Tiong mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

"Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara," katanya dipetik.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM, semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 8:33 PM