GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jijik dan melampau.

Itu reaksi orang ramai selepas terbongkar aktiviti penjualan patung seks berbentuk kanak-kanak di platform e-dagang.

Lebih mengejutkan, patung yang dijadikan sebagai objek melampiaskan nafsu itu turut berpakaian sekolah.

Malah, semakan mendapati penjualan produk seks berkenaan berlaku di Malaysia dan perniagaan berpusat di Lembah Klang.

Mendedahkan aktiviti itu di laman sosial Twitter, pemilik akaun menggunakan nama Masitah berkata, ia pada mulanya dikongsi oleh seorang rakannya.

"Rakan melihat produk dalam Shopee dan terjumpa sex toys (patung seks). Ia tidak menghairankan tapi apa yang menjadi masalah adalah reka bentuknya menyerupai kanak-kanak.

"Perkara ini sangat keji dan menjijikkan," ciapnya.

Mengulas lanjut, Masitah berkata, penjualan patung kanak-kanak terutama yang memakai baju kurung seragam sekolah adalah tidak wajar.

Berikutan itu, Masitah mendakwa sudah membuat laporan kepada pemilik platform e-dagang berkenaan supaya menyekat penjualan terbabit.

Masitah turut menyeru warganet melakukan perkara sama supaya tindakan lanjut dapat dilakukan termasuk oleh pihak berkuasa bagi mengekang jenayah pedofilia.

Perkongsian wanita terbabit menerima lebih 3 juta tontonan dan lebih 9,000 orang mengulang ciap.

Ia turut mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya terkejut dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Sementara itu, Shopee dalam kenyataan sebagai membalas ciapan wanita terbabit memberitahu pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu.

"Terima kasih atas laporan. Jangan risau, kami telah maklumkan pasukan berkaitan bagi mengambil tindakan lanjut.

"Sekiranya anda menemui penjual atau senarai produk yang tidak mematuhi polisi Shopee, anda boleh membantu kami dengan melaporkan mereka," kata kenyataan itu.

Berdasarkan semakan Harian Metro pada iklan penjualan itu di Shopee mendapati ia sudah tiada dipercayai sudah disekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 12:34 PM