HARGA berpatutan serendah RM30.
HARGA berpatutan serendah RM30.
Siti Nadirah Hafidzin

Sama seperti golongan wanita, lelaki juga tidak terkecuali mahu tampil sihat dan bertenaga bagi memastikan rutin seharian dapat disempurnakan dengan lancar.

Rehat pada waktu tidur kadangkala tidak mencukupi untuk seseorang itu mengembalikan tenaga selepas seharian penat dengan pelbagai komitmen.

Berusaha bagi membantu golongan lelaki mendapatkan terapi diri, Masitah Zakariya bersama suami tercinta, Ahmad Fairuj Jamaludin mengilhamkan Alang Spa yang beroperasi di Taman Prima Saujana, Kajang khusus untuk lelaki.

Menurut Masitah, Alang Spa direka khas untuk memberi setiap lelaki merasai saat terapi diri sama seperti golongan wanita.

“Selepas melihat hampir semua spa di negara ini adalah untuk wanita membuatkan saya mula berfikir sesuatu yang agak berbeza iaitu dengan menubuhkan spa lelaki.

“Apa yang penting, kami menggunakan konsep ‘dari lelaki untuk lelaki’ di mana setiap rawatan dilakukan juruterapi lelaki bagi memastikan spa kami bersih daripada perkara tidak elok,” katanya.

Masitah berkata, semua juruterapi yang berkhidmat di Alang Spa adalah terlatih dan mempunyai kemahiran serta kepakaran khusus dalam bidang spa.

“Kami juga mementingkan soal bahan yang digunakan dalam setiap rawatan dan hanya menggunakan bahan semula jadi dan tradisional.

“Selain itu, kami juga tidak menggunakan sebarang mesin bagi memastikan rawatan lebih bersifat semula jadi dan memberi kepuasan kepada pelanggan,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya juga mengekalkan suasana spa yang tenteram, bersih dan selamat bagi menjamin keselesaan pelanggan yang datang untuk berehat.

“Dengan harga yang berpatutan iaitu sekitar RM30 hingga RM350, pelanggan boleh berbincang dan memilih jenis rawatan dikehendaki.

“Kami sentiasa menitikberatkan soal keselesaan pelanggan dan disebabkan itu, pelanggan boleh berbincang dahulu bersama juruterapi kami mengenai kesakitan yang mereka alami atau jenis rawatan bersesuaian,” katanya.

Rawatan lengkap

Bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya, Alang Spa menyediakan pelbagai rawatan lengkap sama seperti spa wanita yang lain.

Masitah berkata, antara rawatan ditawarkan adalah urutan badan iaitu pilihan urutan tradisional, Bali dan Sweedish, tungku menggunakan batu sungai, mandian herba, mandian susu serta mandian bunga, sauna, rawatan wajah dan lulur.

“Kami juga menyediakan rawatan tangan dan kaki, resdung serta bekam yang semuanya dilakukan juruterapi berpengalaman.

“Pelanggan juga boleh memilih untuk melakukan rawatan itu sekali sahaja atau mengambil pakej untuk kesan yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Menurut Masitah, kebanyakan pelanggan yang datang berpuas hati dengan rawatan ditawarkan dan ramai yang datang lagi mengulangi rawatan pada masa lain.

“Soal kepuasan pelanggan adalah perkara paling utama yang kami tekankan dan cuba elak daripada berlakunya perkhidmatan yang tidak menepati kehendak pelanggan.

“Disebabkan itu, saya sentiasa mengingatkan setiap juruterapi supaya memberikan yang terbaik kepada pelanggan seperti mana mereka hendak dilayan apabila ke spa” katanya.

Masitah berkata, selepas rawatan pelanggan akan berasa lebih segar dan selesa.

“Tuntutan tugas dan tanggungjawab hari ini memang besar serta mencabar. Baik wanita atau lelaki, sama-sama perlu memberi ruang kepada diri untuk memanjakan diri yang secara tidak langsung dapat mengembalikan kesegaran dan ketenangan fikiran. Tidak salah jika sesekali mengunjungi spa walaupun anda lelaki. Paling utama semua rawatan yang kami jalankan mengikut prosedur ditetapkan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 10:02 AM