Gambar terakhir Masitah Sidek (kanan) yang menghilangkan diri dari kediamannya di FELDA Jengka 10, Pahang, pada Mac 2017. FOTO Ihsan Keluarga.
Gambar terakhir Masitah Sidek (kanan) yang menghilangkan diri dari kediamannya di FELDA Jengka 10, Pahang, pada Mac 2017. FOTO Ihsan Keluarga.
Amirul Aiman Hamsuddin


“UMI di mana? Pulanglah, kakak rindu nak bertemu umi,” kata Suhailawati Abu Bakar, yang merayu ibu angkatnya pulang selepas menghilangkan diri sejak dua tahun lalu.

Masitah Sidek, 49, didakwa dilihat kali terakhir oleh ahli keluarga di kediamannya di FELDA Jengka 10, Pahang, pada Mac 2017.

Suhailawati, 39, berkata, dia mengetahui kehilangan Masitah ketika dalam perjalanan menuju ke tempat berniaga di pasar tani di Puchong, pada Mac dua tahun lalu.

“Sejak itu, saya tidak lagi bertemu dan usaha menjejaki lokasi umi menemui jalan buntu kerana tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya.

“Apa yang merisaukan, umi turut membawa bersama anak perempuannya, Farhana Yusuf, yang kini berusia 10 tahun. Hingga sekarang, lokasi sebenar umi masih menjadi tanda tanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Tengar Selatan, Sabak Bernam, hari ini.

Suhailawati berkata, sejak ibu angkatnya itu menghilangkan diri, beliau dan keluarganya sudah mencari mereka berdua di merata-rata tempat dah kini cuba menghebahkannya melalui media.

Pada masa sama, bapa angkatnya, Mohd Yusof Asmawi, 70, sudah meninggal dunia pada 21 Januari lalu dan dikebumikan di FELDA Jengka 10.

Menurutnya, Masitah seorang yang tidak banyak karenah selain mesra dengan jiran tetangga dan sahabat handai.

Katanya, Masitah juga dikatakan berada di luar Pahang namun perkara itu tidak dapat disahkan.

“Oleh sebab umi terlalu baik dengan orang khususnya dengan yang tidak dikenali, saya risau akan keselamatannya, lebih-lebih lagi dia bersama anak perempuannya.

“Saya mohon jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat dapat memaklumkan kepada saya mengenai di mana umi kini berada. Saya nak sangat berjumpa kerana terlalu merindukannya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Masitah diminta menghubungi Suhailawati di talian 017-6501979 atau adik Masitah, Zakiah Mohd Zaini (014-8486022).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 5:14 PM