MASITAH (gambar akrib NSTP). FOTO Ghazali Kori
MASITAH (gambar akrib NSTP). FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


IBU arwah Abdul Bari Asyraf Mohd, Masitah Awang, 60, menyifatkan kematian anaknya bagaikan sudah dirasai arwah apabila dia memberitahu rakannya aktiviti memancing pada hari kejadian adalah yang terakhir.

“Rakan arwah yang memancing bersamanya pada hari itu (hari kejadian) memberitahu saya, sebelum memancing arwah berkata itu hari terakhir dia memancing kerana mahu selamatkan orang lemas,” kata Masitah.

Masitah berkata demikian ketika ditemui wartawan Harian Metro selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, sempena program Unsung Hero di rumahnya di Kampung Panji, Merbau Patah, Kuala Terengganu, semalam.

Masitah berkata, selepas hampir dua bulan peristiwa hitam itu berlaku, keluarganya masih menerima kunjungan pelbagai pihak, termasuk individu tidak dikenali yang mahu berkongsi kisah kehidupan arwah.

“Kami sangat terharu dengan doa, pujian, sumbangan, bantuan dan penghargaan tinggi oleh pelbagai pihak kepada arwah (Abdul Bari Asyraf) dan tidak menyangka pemergiannya mendapat perhatian masyarakat dan negara.

“Bagi keluarga, pemergiannya sesuatu yang menyedihkan dan sangat dirasai tetapi pada masa sama, kami bangga memiliki anak sepertinya yang sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

MOHAMED Hanipa (tiga kiri) menyerahkan plak ‘Unsung Hero’ kepada bapa arwah Abdul Bari Asyraf, Mohd Mustafa, 66.  FOTO Zaid Salim
MOHAMED Hanipa (tiga kiri) menyerahkan plak ‘Unsung Hero’ kepada bapa arwah Abdul Bari Asyraf, Mohd Mustafa, 66. FOTO Zaid Salim

Sementara itu, Mohamed Hanipa berkata, sikap arwah Abdul Bari Asyraf yang gemar membantu orang lain dalam apa juga keadaan adalah sesuatu yang sangat terpuji dan teristimewa.

“Tanpa menghiraukan keadaan dan keselamatan diri, arwah sanggup mengorbankan nyawanya terjun ke sungai dalam keadaan gelap hanya semata-mata mahu menyelamatkan nyawa orang lain.

“Jika difikirkan secara halus, sukar untuk seseorang melakukan tindakan sebagaimana yang arwah lakukan.

“Saya juga mengucapkan rasa kagum dengan keberanian lima lagi wira yang terjun ke sungai berkenaan bagi membantu menyelamatkan semua mangsa,” katanya.

Beliau berkata, ‘Unsung Hero’ adalah satu program bagi menghargai pengorbanan individu dalam apa juga situasi dan kes arwah Abdul Bari Asyraf ini adalah sangat istimewa.

“Ini adalah program ke-11 yang saya lawati dan lawatan kedua saya bagi menghargai ‘Unsung Hero’ di negeri selepas kunjungan pertama saya ke rumah keluarga adik Hisham iaitu pelajar OKU (orang kurang upaya) yang memiliki sifat kasih sayang tinggi terhadap adiknya.

“Perbuatan kanak-kanak berusia 11 tahun itu menyuapkan makanan pagi kepada adiknya di kantin sebuah sekolah sangat menyentuh perasaan segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:28 PM