Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Saya bukan malaikat, ada masa lesu dan mengalami tekanan emosi kerana memberi penjagaan sepenuh masa kepada tiga ahli keluarga yang sakit termasuk dua terlantar," kata Safiah Damara, 55 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, Jalan Sutera, Taman Perling di sini.

Namun Safiah berkata, dia tidak pernah berputus asa bagi memikul tanggungjawab memberi penjagaan kepada suami, Borhan Abd Gapar, 50, kakak ipar, Noraziah, 53 dan ibu mentua, Zahrah Marzuki, 80, kerana Allah.

Katanya, sejak 10 tahun lalu, dia menjaga Noraziah selepas wanita itu yang berstatus balu dan tidak memiliki cahaya mata mengalami sakit saraf dan disahkan tidak dapat berjalan.

"Kakak ipar yang mengalami diabetes hanya mampu mengesot dan doktor menyatakan harapannya untuk sembuh tipis.

"Tanggungjawab saya bertambah apabila ibu mentua pula mengalami strok setahun lalu dan kini terlantar hanya dapat minum susu menerusi tiub dipasang di hidung.

"Suami juga pesakit diabetes, terjatuh dan mengalami patah tulang berhampiran paha. Dia menjalani pembedahan kerana jangkitan kuman di bekas luka enam bulan lalu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan masih tidak dapat bergerak.

"Ketiga-tiga mereka menggunakan lampin pakai buang dan minum susu disyorkan doktor," katanya.

Safiah berkata, dia bukan saja mengurus makan minum ketiga-tiga insan kesayangannya malah rutin hariannya termasuk memberi ubat, membersihkan serta memastikan mereka dalam keadaan selesa.

"Saya umpama jururawat tidak berbayar namun dan saya tidak pernah luntur semangat bagi memberi jagaan kepada mereka.

"Pada masa sama, saya juga bukan malaikat dan kadang-kala memang berasa penat secara fizikal dan mental memikir amanah saya ini selain ujian diberikan tuhan," katanya.

Safiah berkata, dia menampung kos pembelian ubat, lampin pakai buang, susu, barangan dapur serta membayar sewa rumah bulanan RM200 dengan mengambil upah menjahit di rumah.

Menurutnya, pendapatan bulanannya adalah kira-kira RM800.

"Saya boleh menjahit baju kurung, baju Melayu, baju kanak-kanak, baju wanita dan sebagainya.

"Berikutan menyiapkan tempahan serta memberi jagaan bergilir-gilir kepada suami, kakak ipar dan ibu mentua, saya hanya mampu tidur selama empat jam sehari.

"Pelanggan saya adalah warga tempatan selain dari Singapura namun saya juga pernah mengalami kerugian akibat ditipu pelanggan yang gagal membayar upah menjahit selepas mendapatkan hasil jahitan.

"Bagaimanapun saya terus menjahit demi sesuap nasi dan saya bersyukur kerana kakak ipar juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM500 sebulan," katanya.

Safiah berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak yang menyampaikan sumbangan wang tunai sejumlah RM500, lampin pakai buang dan barangan dapur.

Mohd Nasir berkata, pihaknya mendapati suami dan kakak ipar Safiah memerlukan katil khas.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan keluarga itu memohon bantuan perubatan dan kewangan dari MAIJ.

"Kami juga akan mempertimbangkan bantuan mesin jahit tepi bagi Safiah bagi membolehkannya menambah pendapatan," katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban Safiah boleh menghubungi beliau di talian 011-23711765 atau menyalurkan sumbangan ke akaunnya di Bank Islam 01041020502459.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 10:28 PM
Safiah yang memberi penjagaan kepada suami, ibu mentua dan kakak ipar menerima perhatian daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ). FOTO Mary Victoria Dass
Safiah yang memberi penjagaan kepada suami, ibu mentua dan kakak ipar menerima perhatian daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ). FOTO Mary Victoria Dass