SAFIAH tidak kekok memandu kereta Volkswagen peninggalan arwah suaminya di jalan raya.
SAFIAH tidak kekok memandu kereta Volkswagen peninggalan arwah suaminya di jalan raya.
Redzuan Muharam

“RAMAI berminat untuk membeli namun saya tidak berhasrat menjualnya kepada sesiapa walaupun harganya kini boleh mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit memandangkan ia adalah harta peninggalan arwah suami,” kata pemilik kereta Volkswagen model tahun 1971, Safiah Idris, 73.

Safiah berkata, kereta antik itu dibeli arwah suaminya, Seri Harith Abdullah pada Jun 1972 daripada pemilik asal yang hanya menggunakan kenderaan berkenaan dalam tempoh 10 bulan.

Meskipun berusia hampir 50 tahun, kereta berkenaan masih dalam keadaan baik dan disebabkan keistimewaan kenderaan itu, dia turut menerima tempias apabila kerap menjadi perhatian pemandu lain ketika berada di jalan mahupun lebuh raya.

“Arwah suami amat sayangkan kereta berkenaan dan dia cukup teliti menjaganya selain tidak membenarkan sesiapa pun memandu termasuk saya.

“Namun selepas ketiadaannya, saya yang mengambil alih tanggungjawab menjaga kereta itu terutama menghantarnya ke bengkel untuk penyelenggaraan.

“Ikutkan, saya tidak kekok memandu kereta berkenaan kerana berpengalaman memandu model Volkswagen tahun 1977 kepunyaan sendiri yang sudah dijual.

“Cuma, saya perlu membiasakan diri setiap kali memandu di jalan atau lebuh raya kerana kerap disapa pemandu lain yang tidak dikenali,” katanya.

SAFIAH yang memiliki kereta Volkswagen model 1971 memandu keretanya di Taman Desa Anggerik, Semenyih.
SAFIAH yang memiliki kereta Volkswagen model 1971 memandu keretanya di Taman Desa Anggerik, Semenyih.

Menurut Safiah, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah ketika dihon seorang pemandu ketika berhenti di lampu isyarat.

Katanya, pemandu itu bertindak sebegitu kerana mahu bertanya sama ada dia berhasrat menjual kereta kepunyaannya.

“Bukan setakat itu, ada juga sanggup meletakkan nota tertera nombor telefon mereka di hadapan cermin kereta saya supaya menghubungi mereka jika ingin menjual model Volkswagen itu.

“Tidak kurang yang memandu seiring di lorong bersebelahan ketika di lebuh raya dan memotong dari belakang untuk mengambil gambar.

“Pada mulanya saya rasa pelik namun kini, sudah lali dengan insiden itu dan setakat ini tiada yang bertindak keterlaluan. Cuma setakat mengambil gambar kerana jarang menemui kereta model ini di lebuh raya,” katanya.

Safiah berkata, minat terhadap Volkswagen mendorongnya mengumpul figura mini dan baju-T bermotifkan model berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:30 AM