CHE Li dan isteri Siti Wahidah bersama tiga anak istimewa mereka. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
CHE Li dan isteri Siti Wahidah bersama tiga anak istimewa mereka. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Selama: "Saya dan isteri tidak pernah menyesal dan kecewa dengan anugerah istimewa dari Allah SWT ini, Insya-Allah kami akan jaga mereka (anak) selagi hidup," kata Che Li Md Arshad, 43.

Itu luahan Che Li yang cekal menjaga dan menguruskan tiga anak istimewanya disahkan menghidap penyakit lebihan cecair dalam otak atau hydrocephalus bersama isteri, Siti Wahida Abd Aziz, 36, di KampungTanjung Lengkong, Rantau Panjang, di sini.

Menurut Che li, ketiga-tiga anaknya, Muhammad Saiful Asyraf, 13, Muhammad Taufiq Iqbal, 10, dan Muhammad Al Wafie, 6, disahkan menghidap penyakit itu seminggu sebelum ketiga-tiga mereka dilahirkan.

"Kesan daripada penyakit yang dialami, kepala ketiga-tiga anak kami menjadi besar dan pergerakan mereka terbatas, manakala anak bongsu hanya terlantar di atas tilam.

"Pergerakan mereka tidak seperti kanak-kanak lain, anak kami hanya mampu mengesot dan meniarap sahaja," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Ditanya mengenai kos perubatan dan perbelanjaan menguruskan tiga beradik itu, Che Li berkata, ketiga-tiga anaknya bergantung pada rawatan dan ubat-ubatan hospital selain perlu memakai lampin pakai buang serta susu khas.

"Dianggarkan kos untuk lampin sahaja sekitar RM 350 sebulan berikutan setiap dari mereka menggunakan sekurang-kurangnya lima keping lampin sehari.

"Dari segi pemakanan dan minuman pula hanya anak ketiga sahaja yang minum susu khas dan perlu diurut setiap hari manakala anak pertama dan kedua minum susu biasa (Dutch Lady) dan makan makanan yang lembut dan perlu disuap.

"Kini kadar kesihatan anak kedua menunjukkan sedikit perubahan positif apabila dia mampu bangun dan dalam proses cuba berjalan, namun perlu dipapah dan dibantu," katanya.

Che Li yang hanya berkerja kilang di Kulim, Kedah dengan pendapatan RM1,400 sebulan, turut dibantu isterinya yang mengambil upah menjahit baju dan menjual kerepek pisang secara kecil-kecilan disini bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Siti Wahida berkata, dia amat berharap ada pihak yang sudi membantu menyumbang mesin sagat pisang untuk membuat kerepek atau mesin jahit baru bagi membolehkan dia terus menyara kehidupannya sekeluarga.

"Kerepek pisang yang saya jual ada yang RM1, RM2, RM5 sebungkus atau RM20 sekilogram dan diletakkan di kedai-kedai kecil di sekitar kampung ini.

"Bagi menjahit pakaian pula saya tak berani nak ambil tempahan yang banyak takut tak sempat sebab saya hanya menggunakan mesin jahit kecil yang dibeli suami pada empat tahun lalu selain perlu menguruskan anak-anak ketika suami berkerja.

"Pendapatan kecil-kecilan ini bolehlah membantu suami dalam menyara anak dan kami sekeluarga," katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama Mohd Akmal Kamaruddin dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Myfund Action hadir ke kediaman keluarga ini dan menyampaikan sedikit sumbangan.

Difahamkan, Mohd Akhmal kini sedang dalam perbincangan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menaikkan bantuan bulanan dari RM350 ke RM500 seorang selain bantuan susu dan lampin pakai buang.

Dalam masa yang sama beliau juga akan mendapatkan sebuah kerusi roda berkembar jenis troli untuk kemudahan keluarga ini ketika mendapatkan rawatan di hospital kelak.

Sementara itu Penasihat My Fund Action, Ahmad Umair Zulkefli, berkata pihaknya turut menyumbang kotak makanan bagi membantu meringankan beban keluarga ini.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi mereka di talian 013-945 8226 (Siti Wahida) atau 0194786186 (Che Li).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 4:39 PM