ZULKIFLI menerima kunjungan Mohd Nasir (kiri) di rumahnya di Kempas. (Gambar kecil) Keadaan Zulkifli yang mengalami sakit kulit. FOTO MARY VICTORIA DASS
ZULKIFLI menerima kunjungan Mohd Nasir (kiri) di rumahnya di Kempas. (Gambar kecil) Keadaan Zulkifli yang mengalami sakit kulit. FOTO MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


SEORANG suri rumah sanggup tinggal di rumah dan tidak beraya di rumah keluarga serta rakan sejak empat tahun lalu kerana terpaksa menjaga adik yang lumpuh di rumahnya.

Zaleha Jalehan, 57, berkata lebih menyedihkan keadaan adiknya, Zulkifli, 50, bertambah buruk selepas menghidap sakit kulit sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, penderitaan sepanjang hayat dialami adiknya semakin parah dan peluang untuk bekas konsultan syarikat swasta pulih amat tipis.

Menurutnya, anak kelima daripada lapan beradik itu memerlukan penjagaan setiap masa, namun keluarganya bersyukur kerana berpeluang menjaga Zulkifli.

“Alhamdulillah, keluarga saya boleh menerima Zulkifli dengan hati terbuka kerana yakin setiap pengorbanan ahli keluarga menjaganya akan menjadi saham akhirat masing-masing.

“Zulkifli sudah berumah tangga dan memiliki isteri dan anak, namun teman hidupnya meminta bantuan kami untuk menjaganya atas faktor tertentu. Malah ia juga kehendak bapa mentua saya berusia 80 tahun bagi mengelak Zulkifli diabaikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kempas Utama, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Zaleha berkata, dia bersyukur lima anaknya dan suami, Hasni Hashim, 59, berfikiran terbuka dan masing-masing membantu dalam pelbagai aspek penjagaan adiknya.

Menurutnya, ia berikutan mereka menyedari tanggungjawab dipikul menjaga Zulkifli bukan ringan dan memerlukan ketabahan.

Katanya, hampir setiap hari dia dan suami bersengkang mata memastikan Zulkifli boleh mengalih kedudukan tubuhnya ketika baring demi keselesaannya.

“Dia tidak boleh berbual, makan mahu pun berjalan. Keadaannya hampir sama dengan bayi.

“Setiap empat hingga lima jam sekali dia perlu minum susu disalurkan menerusi tiub dan dengan bantuan suami, saya membersihkan dan menukar lampin pakai buang digunakannya.

“Demi Zulkifli, sejak empat tahun lalu saya hanya menyambut Aidilfitri di rumah dan tidak mengunjungi rumah saudara-mara atau mentua kerana tidak boleh meninggalkannya seorang diri di rumah,” katanya ketika menerima kunjungan Wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak.

Menurutnya, mereka juga berjimat dalam perbelanjaan bagi menampung keperluan pembelian lampin pakai buang dan keperluan lain untuk adiknya.

“Bagi pembelian susu, isteri Zulkifli akan menyalurkan wang daripada sebahagian faedah pencen penakat diperoleh menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala dua anak sudah berumah tangga dan memiliki keluarga masing-masing. Oleh itu, cara menampung perbelanjaan Zulkifli adalah dengan menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Zaleha berkata, keluarganya merujuk keadaan Zulkifli ke Klinik Kesihatan Kempas untuk menjalani pemeriksaan susulan sakit kulit dialaminya.

“Hampir seluruh tubuhnya dipenuhi kesan seperti luka dan berdarah akibat sakit kulit dan doktor masih belum mengenalpasti puncanya.

“Hanya Allah SWT yang mengetahui penderitaan dilaluinya sekarang dan sebagai kakak, saya sentiasa mendoakan supaya dia sembuh sepenuhnya dan sabar menempuh dugaan ini.

“Kami tidak pernah menganggap Zulkifli sebagai bebanan apabila menjaganya kerana pasti ada hikmahnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan lampin pakai buang dan sejumlah wang tunai kepada keluarga berkenaan.

“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kakak pesakit supaya tabah menjaganya. Kami juga mencadangkan mereka memohon bantuan sesuai daripada MAIJ,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga Zalehan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank bernombor 4812555005 milik suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 5:55 PM