SEBUAH kereta dan pelbagai mata wang dirampas daripada suspek yang disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah di daerah Seremban. FOTO ihsan polis
SEBUAH kereta dan pelbagai mata wang dirampas daripada suspek yang disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah di daerah Seremban. FOTO ihsan polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Lelaki dengan 13 rekod jenayah pecah rumah sekali lagi ditahan polis selepas disyaki memecah masuk sebuah kediaman di Taman Bukit Kaya, di sini, 2 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi, suspek berusia 45 tahun dikatakan melarikan wang tunai dan barang berharga dianggarkan bernilai RM3,000.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati suspek dipercayai terbabit dengan lima lagi jenayah sama di daerah ini.

"Pada 2 Julai lalu, polis menerima laporan di Balai Polis Jalan Campbell mengenai sebuah rumah dipecah masuk dan wang tunai serta barang berharga dicuri.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban menahan seorang suspek di Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

"Kami turut merampas kereta jenis Toyota Vios dipercayai digunakan ketika kejadian dan pelbagai mata wang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 13 rekod jenayah pecah rumah dan satu rekod dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Dengan tangkapan ini, kami percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah di sekitar Seremban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 3:21 PM