DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan negeri (DUN) esok.

Bagaimanapun, katanya, tarikh pembubaran DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tidak boleh diumumkan lagi.

"Kita akan mengadap untuk mendapat perkenan Sultan Mizan bagi pembubaran DUN, tetapi tarikh belum ditetapkan.

"Kita tidak boleh mendahului Sultan Mizan untuk mengumumkan tarikh pembubaran DUN, biar kita mengadap dan mendapat perkenan, lepas itu baru kita umumkan," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mengiringi Sultan Mizan ke Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61, Hari Keputeraan Sultan Mizan di Istana Syarqiyyah, di sini.

Selain Terengganu, lima lagi negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Terengganu mempunyai 32 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) dan Pas menguasai 22 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 10 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kerusi DUN dimenangi BN adalah Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 2:28 PM