GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ramai yang menerima pendekatan kerajaan melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar mulai bulan depan sebagai suatu langkah positif, khususnya dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya berhemah menggunakan elektrik dalam kehidupan seharian.

Penjawat awam, Mohd Zuriyadi Sarpin, 34, berkata, pemberian subsidi elektrik secara bersasar itu menunjukkan bahawa kerajaan sedang sedaya upaya membantu untuk mengurangkan beban rakyat dengan tidak menaikkan kadar bil elektrik bulanan bagi sebilangan besar pengguna.

"Pengumuman ini sudah tentu memberi kelegaan kepada semua lapisan masyarakat kerana seperti yang kita sedia maklum, bil elektrik ini menelan belanja bulanan yang tinggi. Sewajarnya tiada kenaikan tarif elektrik kerana keuntungan dari kutipan bil bulanan sudah mencukupi.

"(Namun), kenaikan kepada kumpulan sasaran yang mempunyai bil elektrik melebihi kadar tertentu adalah wajar. Kerajaan juga mungkin boleh menawarkan atau memperkenalkan perkhidmatan pemasangan solar panel dengan kadar yang murah kepada pengguna yang menghadapi beban elektrik yang tinggi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik berikutan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023, merangkumi 99 peratus daripada pengguna domestik.

Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan, mereka akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj, membabitkan 83,000 pengguna atau satu peratus pengguna domestik.

Seorang pesara, Datuk Nur Iskandar A Samad berkata, keputusan kerajaan mengenakan surcaj bagi pengguna berkenaan sesungguhnya memberi kesedaran kepada orang ramai supaya lebih berjimat dalam penggunaan elektrik.

Pesara berumur 65 tahun itu berkata, oleh kerana bil elektrik beliau secara purata berjumlah RM800 sebulan, beliau kini perlu membuat pelarasan sekiranya tidak mahu menjadi salah seorang daripada kelompok satu peratus pengguna domestik, yang akan mengalami kenaikan bil elektrik sekitar 25 peratus, atau RM175 setiap bulan.

"Rumah saya ada 19 pendingin hawa, dan walaupun saya telah pasang panel solar tahun lepas bagi mengurangkan penggunaan elektrik, yang membolehkan saya mengurangkan bil elektrik bulanan daripada purata RM1,500 kepada sekitar RM800, dengan (surcaj) ini, saya mungkin perlu membayar tambahan kira-kira RM100 untuk bil elektrik," katanya dan menambah selain membuat pelarasan dalam pelbagai aspek, beliau akan meminta anggota keluarganya untuk mengurangkan atau mengehadkan penggunaan pendingin ahawa.

Sementara itu penstrim permainan dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Sara, 29, berkata beliau lega kerana tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik memandangkan bidang itu memerlukannya untuk berada di rumah dalam jangka masa panjang dan menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Katanya, pendekatan subsidi elektrik bersasar itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dengan meringankan beban mereka, termasuk beliau sendiri yang perlu menanggung bil elektrik bulanan antara RM200 hingga RM250 secara purata.

Beliau bagaimanapun tetap menyuarakan kebimbangan mengenai impak kenaikan tarif elektrik terhadap cara pendapatannya yang dijana sepenuhnya secara dalam talian atau penstriman.

"Tahap kebergantungan kehidupan rata-rata rakyat dengan elektrik adalah sangat tinggi dan saya sejujurnya berharap kepimpinan sentiasa tidak lupa untuk mengambil berat tentang keperluan rakyat dari pelbagai sektor," katanya.

Senada dengan beliau adalah ahli perniagaan Tan Wen Meng, 54, yang memuji usaha kerajaan untuk meneruskan pemberian subsidi elektrik secara bersasar kepada kebanyakan orang ramai, yang rata-rata terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Katanya bil elektrik bulanan beliau secara purata berjumlah hampir RM500 kerana pekerjaannya yang perlu sentiasa menggunakan peralatan elektronik untuk berhubung dengan pelanggan, selain penggunaan elektrik untuk aktiviti isi rumah.

"Ia langkah baik kerajaan, yang mengambil berat mengenai kebajikan dari segi pendapatan rakyat, masih memberikan subsidi kepada orang ramai bagi utiliti yang sememangnya amat diperlukan oleh ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 1:06 PM