TINJAUAN berkaitan tarif elektrik. FOTO Aswadi Alias
TINJAUAN berkaitan tarif elektrik. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

Putrajaya: Sejumlah 561,000 atau 99 peratus pengguna domestik di Sabah dan Labuan tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, demikian menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan pada 13 Disember lalu telah bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna di Sabah dan Labuan untuk tempoh berkenaan.

"Berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM161.70 juta subsidi bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini," menurut kenyataan itu.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Dengan pelaksanaan ICPT itu, pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak dikenakan sebarang surcaj.

Bagi pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj, manakala pengguna bukan domestik turut dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Sementara itu, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Pengecualian surcaj ICPT turut diberikan kepada pengguna bukan domestik yang terdiri daripada operator air dan pembetungan dalam kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1)," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 10:42 PM