Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur melaksanakan Program Jualan Rahmah (PJR) secara bergerak di 33 lokasi perumahan golongan berpendapatan rendah (B40) bermula esok hingga 1 Ogos nanti.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pemilihan lokasi perumahan B40 dilakukan 11 Ahli Parlimen seluruh ibu kota ini.

"Pelaksanaan program ini membolehkan golongan sasaran iaitu B40 mendapatkan barang keperluan pada harga rendah dengan terus pergi kepada mereka dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup.

"Sebanyak 12 barang keperluan asas utama akan dijual dengan harga rendah berbanding harga pasaran seperti ayam, daging, ikan, beras, minyak masak, telur ayam, kicap dan sos cili.

"Setiap barangan yang dijual itu ditawarkan harga diskaun sehingga 30 peratus," katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, konsep pelaksanaan program itu adalah menggunakan trak bergerak serta khemah yang dipasang di lokasi terpilih mengikut masa dipilih penduduk di kawasan berkenaan.

"Antara lokasi yang dipilih dalam program ini ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong, Taman Dato' Senu, PPR Gombak Setia, Kampung Sungai Penchala, PPR Desa Rejang, Perumahan Awam (PA) Seri Perlis, PPR Salak Selatan, Eco Park, PPR Bukit Jalil, PA Sri Sarawak dan PA Sri Johor.

"Ada lokasi bermula jam 10 pagi dan ada lokasi bermula jam 5 petang. Masa operasi ini bergantung dengan pilihan penduduk di kawasan berkenaan sehingga semua barang habis dijual.

"Fokus utama program ini adalah membantu golongan B40. Justeru itu, kita berharap pengunjung yang datang nanti adalah golongan yang benar-benar memerlukan," katanya.

ARIFFIN (tengah) menunjukkan harga jualan rahmah selepas sidang media Pelancaran Jualan Rahmah bergerak di kawasan perumahan B40. FOTO Hazreen Mohamad
ARIFFIN (tengah) menunjukkan harga jualan rahmah selepas sidang media Pelancaran Jualan Rahmah bergerak di kawasan perumahan B40. FOTO Hazreen Mohamad

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga akan mempromosikan aplikasi PriceCatcher dengan menyasarkan 10,000 pengguna yang memuat turun aplikasi itu dalam program terbabit.

"Selain itu, kami juga ingin menjemput orang ramai hadir ke Hari Pengguna Kebangsaan 2023 (HPK 2023) di Piazza Pavillion Bukit Jalil pada 28 hingga 30 Julai nanti.

"Kami merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program PJR ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 12:55 PM