FUZIAH, gambar fail. FOTO NSTP
FUZIAH, gambar fail. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Program Jualan Rahmah Beras yang bermula hari ini akan menawarkan beras import pada harga antara RM13 hingga RM14 setiap kampit lima kilogram (kg) dengan sasaran agihan kepada golongan memerlukan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, Jualan Rahmah Beras akan menggunakan beras import susulan kekurangan beras tempatan ketika ini.

"Dalam Jualan Rahmah bergerak, kita tawarkan harga sekampit beras lima kilogram (kg) antara RM13 hingga RM14, jadi KPDN akan cuba sedaya upaya menawarkan harga sama dalam Jualan Rahmah Beras.

"Kita akan cuba sedaya upaya untuk menjual dengan harga seperti itu juga. (Maknanya) kalau RM13 untuk harga beras tempatan, tetapi untuk Jualan Beras Rahmah kita jual beras import," katanya selepas merasmikan seminar Today's Malaysia E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward, di sini, semalam.

Mengenai golongan sasaran untuk Jualan Rahmah Beras, Fuziah berkata, KPDN mahu memastikan hanya mereka layak dapat membeli beras berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, melalui Jualan Rahmah Bergerak, sasarannya adalah kawasan B40, perumahan kos rendah, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya.

"Mekanisme itu (bergerak ke kawasan penempatan disasarkan) mungkin satu cara untuk kita sampai kepada golongan yang memerlukan dan terkesan.

"Namun untuk golongan peniaga, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengatakan mereka akan ambil tanggungjawab.

"Kita akan lihat mekanisma terbaik untuk memastikan seluas mungkin capaian kepada golongan yang memerlukan.

"Sebaik-baiknya pengagihan dilaksanakan kelak mengikut kawasan Parlimen. Maksudnya setiap parlimen ada program itu," katanya.

Beliau berkata, ada juga dalam kalangan Ahli Parlimen menemuinya yang memaklumkan ingin menggunakan peruntukkan mereka bagi menambah subsidi yang ditawarkan dalam bentuk beras kepada pengundi di kawasan mereka.

Berhubung rungutan orang ramai mengenai ketiadaan beras tempatan di pasaran termasuk tinjauan Harian Metro di Chow Kit, Fuziah berkata, pemantauan penguat kuasa KPDN juga mendapati beras tempatan juga sukar diperoleh di kedai runcit, pasar raya dan pasar raya hiper.

"Itu komen saya, lebih daripada itu ia di luar bidang kuasa KPDN. Di dalam kes barang kawalan lain, yang kita ada bidang kuasa itu kita boleh buat.

"Tetapi di dalam isu beras, bidang kuasa itu tidak ada pada kita, maksudnya punca kuasa itu tidak ada.

"Ia (kuasa) Bahagian Kawalselia Padi dan Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Jadi itu yang saya beritahu, bukan kita tidak ingin atau mengelak (bertanggungjawab ketiadaan beras tempatan)," katanya.

Menurutnya, apa yang pihaknya boleh lakukan adalah memanggil rakan penguat kuasa Kawal Selia Padi dan Beras untuk sama-sama selesaikan masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 12:51 PM