Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Pemeteraian Triti Selat Melaka serta Triti Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia berkaitan Persempadanan Laut Wilayah bagi kedua-dua negara sudah mengambil kira pandangan juga nasihat pakar maritim negara.

Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, rundingan bagi perbatasan laut itu sudah berlangsung selama 18 tahun yang membabitkan pelbagai aspek termasuk daripada segi perundangan, teknikal, ekonomi dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, terdapat persepsi dan dakwaan yang salah berkaitan kedua-dua triti itu walaupun perkara itu sudah dijelaskan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pemeteraian triti berkenaan sudah mengambil kira nasihat dan pandangan pakar maritim negara, iaitu Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.

"Pasukan ini diterajui KLN dengan dianggotai agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

"Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia turut membabitkan agensi lain termasuk kerajaan negeri dalam

merangka strategi dan pendekatan semasa proses rundingan.

"KLN ingin menjelaskan bahawa dokumen lima muka surat bertajuk 'Nota Memorandum Daripada Menteri Luar Negeri Penyelesaian Isu Sempadan Maritim Malaysia-Republik Indonesia bukan dokumen yang disediakan oleh kementerian ini atau mana-mana anggota Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.

"Kementerian kesal dengan dakwaan oleh sesetengah pihak yang didasarkan pada dokumen itu walaupun ia jelas menyeleweng daripada fakta sebenar dan terkini berhubung proses rundingan Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi," katanya pada kenyataan.

Sebelum ini, Anwar menafikan perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatangani baru-baru ini tidak mendapat pandangan pakar.

Malah Anwar turut mempersoalkan sumber maklumat Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menimbulkan dakwaan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri supaya memberi penjelasan berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatanganinya.

Muhyiddin mendakwa, Perdana Menteri tetap menandatangani perjanjian itu walaupun pakar maritim menasihati supaya tidak berbuat demikian.

Persempadanan Laut Selat Melaka dan Perjanjian Persempadanan Sulawesi adalah dua daripada enam instrumen dua hala Malaysia Indonesia dimeterai sempena lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo, ke negara ini pada 8 Jun lalu.

Dalam pada itu, KLN memaklumkan, apabila triti berkenaan mula berkuat kuasa, ia akan memberikan kejelasan daripada segi kedaulatan dan bidang kuasa yang membolehkan Malaysia dan Indonesia menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing-masing dengan lebih berkesan.

"Ini termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia, aktiviti ekonomi dan pembangunan seperti perikanan dan eksplorasi serta eksploitasi sumber marin dalam zon laut wilayah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan lebih terjamin," katanya.

Tambahnya, triti itu diharap akan terus meningkatkan keyakinan bagi kedua-dua negara untuk meneruskan rundingan pembatasan persempadanan maritim yang belum diselesaikan terutamanya di zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan pelantar benua.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 12:53 PM