Mohamad Alamin ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamad Alamin ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini. FOTO BERNAMA
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan mengambil ringan dan membuat keputusan sewenang-wenangnya berhubung isu berkaitan sempadan maritim kerana ia membabitkan kedaulatan negara.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, persempadanan maritim yang dipersetujui dalam Triti Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia tidak membabitkan kawasan yang disebutkan sebagai Ambalat.

Bagaimanapun, katanya pada masa sama negara juga perlu menghormati hubungan diplomatik yang baik bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran dengan mana-mana negara jiran.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi, bahawa kawasan atau persempadanan maritim yang dipersetujui Triti Laut Sulawesi tidak langsung membabitkan kawasan yang disebutkan sebagai Ambalat," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak membabitkan persempadanan maritim di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) atau pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia, di mana terletaknya kawasan yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat.

"Triti itu hanya meliputi kawasan di separa perairan laut wilayah dan langsung tidak membabitkan kawasan yang disebut Ambalat.

"Bagaimanapun masih terdapat baki sempadan yang perlu dirundingkan iaitu membabitkan wilayah perairan laut," katanya.

Beliau berkata, disebabkan proses ratifikasi yang berbeza oleh kedua-dua negara, dokumen itu masih belum boleh dikongsi kepada umum.

"Berdasarkan amalan antarabangsa, hanya selepas kedua-dua negara menyempurnakan proses ratifikasi berdasarkan undang-undang domestik masing-masing, barulah dokumen itu boleh dikongsikan kepada umum.

"Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perhubungan dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen berhubung isu Ambalat," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Ambalat adalah kawasan bertindih dan kedua-dua negara mempunyai tuntutan.

"Dalam hal ini, mana-mana negara berhak mengatakan bahawa itu adalah kawasan mereka dan boleh mengeksplorasi namun kita (Malaysia) sentiasa tegas bahawa itu adalah kawasan kita.

"Kawasan itu masih perlu kita rundingkan secara bersama dan ianya belum sampai ke peringkat itu untuk kita rundingkan. Jadi, itu soal mereka mengatakan akan menjalankan eksplorasi, tapi kita akan pertahankan kedaulatan negara kita dalam isu Ambalat ini," katanya.

Dalam hal membabitkan isu Laut China Selatan, katanya, kerajaan mengambil sikap berhati-hati dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan.

Katanya, kehadiran dan jumlah kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan dan mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan.

"Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendirian semua negara perlu mengurangkan kehadiran kapal perang di Laut China Selatan.

"Selain itu Negara Asean dan China turut menandatangani deklarasi tata laku pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:01 PM