DATUK Seri Dr Ronald Kiandee. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan digesa supaya menyahklasifikasi dokumen perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun lalu bagi merungkai isu Ambalat yang dibangkitkan beberapa pihak.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata langkah itu dapat menjawab sejauh mana Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo itu tidak membabitkan blok Ambalat.

Katanya, pendedahan triti itu juga dapat menoktahkan spekulasi dan kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah di antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan sebelum ini.

"Kerajaan perlu menyahklasifikasikan kandungan dokumen perjanjian itu bagi menjawab spekulasi berhubung isu Ambalat, sekali gus menghentikan persoalan yang timbul ketika ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata Blok Ambalat, seluas 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah itu yang dikatakan mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan dipertahankan Malaysia sejak sekian lama, tidak boleh digadai sama sekali.

"Apatah lagi pakar maritim yang terbabit dalam usaha melindungi hak Wilayah Malaysia memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.

"Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu.

"Kita tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara khususnya perairan Sabah, yang juga membabitkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk mendedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan, selain sebagai bukti jelas bahawa perjanjian berkenaan tidak membabitkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 8:36 PM