DATUK Seri Dr Zambry Abdul Kadir menunjukkan kawasan umum di laut Sulawesi ketika sidang media berkaitan persempadanan Laut Wilayah di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Persempadanan Laut Wilayah (SEPARA) di Laut Sulawesi Antara Malaysia dan Republik Indonesia di Wisma Putra. FOTO ASWADI ALIAS.
DATUK Seri Dr Zambry Abdul Kadir menunjukkan kawasan umum di laut Sulawesi ketika sidang media berkaitan persempadanan Laut Wilayah di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Persempadanan Laut Wilayah (SEPARA) di Laut Sulawesi Antara Malaysia dan Republik Indonesia di Wisma Putra. FOTO ASWADI ALIAS.
BERNAMA

Putrajaya: Perjanjian penyelesaian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang dimeterai baru-baru ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik bagi meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata setiap pemimpin tidak kira dari parti mana perlu bersikap bertanggungjawab dalam perkara yang disampaikan kepada pengundi dan tidak harus ambil kesempatan daripada isu yang tidak benar.

"Adalah sangat mendukacitakan dan malang apabila isu-isu penting yang berkaitan kedaulatan negara dimanipulasi sedemikian rupa bagi menagih dan meraih dokongan politik yang kita sedia maklum mungkin disebabkan PRN dan sebagainya.

"Sekiranya timbul sebarang keraguan, pihak terlibat boleh merujuk perkara itu kepada Parlimen atau kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah memberi penjelasan di Dewan Rakyat baru-baru ini," katanya semasa Sesi Libat Urus Bersama Media mengenai Triti Persempadanan Laut Wilayah Di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Persempadanan Laut Wilayah (Separa) di Laut Sulawesi Antara Malaysia dan Indonesia, di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Mohammad Zaki Mohd Ghazali.

Beliau berkata walaupun perdana menteri sudah memberikan fakta berasaskan apa yang ditandatangani sebelum ini, namun ia tetap dijadikan sebagai bahan politik, ceramah politik dan bahan di media sosial bertujuan memberi gambaran buruk seolah-olah kerajaan hari ini mengorbankan wilayah Malaysia kepada Indonesia.

Zambry dalam pada itu berkata Wisma Putra sudah membuat laporan polis minggu lepas berhubung penularan Nota Memorandum Daripada Menteri Luar Negeri Penyelesaian Isu Sempadan Maritim Malaysia-Republik Indonesia yang menurutnya adalah palsu.

"Kita memandang serius kerana ada perkara yang disampaikan dalam kertas tu tidak benar, malah penggunaan peta yang sepatutnya dirahsiakan, diambil dan penceritaan yang tidak benar, naratif yang diberikan seolah-olah ia adalah nota daripada Menteri Luar, sebenarnya adalah palsu.

"Kerajaaan memandang serius hal ini kerana ia berkaitan kerahsiaan bahan-bahan maklumat yang tidak boleh didedahkan dan termasuk juga penularan maklumat palsu yang dikatakan daripada kementerian dan menteri," katanya.

Beliau berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap penyebaran nota memorandum itu.

"Ia dilakukan mereka tidak bertanggungjawab, ini bukan kerja orang biasa sebab itu kita melihat ia ditulis seolah-olah begitu teknikal, siapa yang tidak faham aspek itu akan percaya dengan semua kandungan yang disampaikan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Zaki berkata Malaysia menjangka isu garisan sempadan Triti Laut Sulawesi dari timur persisir pantai Pulau Sebatik dapat dimuktamadkan Jun 2024.

"Ada perkara yang sedang dirundingkan yang tidak boleh didedahkan. Di kawasan Pulau Sebatik ada kawasan yang belum kita persetujui, sejauh1.8 kilometer (km), ia belum dipersetujui secara bersama.

"Jika pertikaian berkenaan garis sempadan 1.8 km itu tidak dapat disepakati menjelang Jun depan, kita akan teruskan rundingan itu dan proses perundingan perlu berasaskan undang-undang antarabangsa yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 6:59 PM