SIVAKUMAR (tiga dari kanan)  menziarahi Muhammad Hafizi di Hospital Sungai Buloh. FOTO BERNAMA
SIVAKUMAR (tiga dari kanan) menziarahi Muhammad Hafizi di Hospital Sungai Buloh. FOTO BERNAMA
Sudirman Mohd Tahir


Sungai Buloh: "Kepada rider yang belum mencarum, saya sarankan mendaftar. Banyak faedah, sebab kita tak tahu apa yang bakal terjadi. Malang tak berbau," kata Norfarahin Jamsari, 25, isteri pekerja perkhidmatan penghantar makanan, Muhammad Hafizi Idris, 34, yang terbabit kemalangan jalan raya pada 29 Ogos lalu.

Muhammad Hafizi yang juga pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, masih koma dan dirawat di Wad Neurosurgery, Hospital Sungai Buloh di sini.

Muhammad Hafizi yang dilindungi SKSPS menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sejak dimasukkan ke hospital iaitu dari 30 Ogos lalu. Jumlah bayaran yang sudah diterima lebih RM7,000.

Norfarahin berkata, faedah kewangan dari PERKESO itu sangat membantu kehidupannya serta keluarga suami.

"Sejak suami koma, kehidupan sukar sebab punca pendapatan hanya daripadanya. Saya tak bekerja sebelum ini. Dalam masa sama, keluarga suami juga bergantung pada dirinya memandangkan dia anak sulung. Pendek kata memang terkesan dari semua segi.

"Alhamdulillah, dengan faedah daripada PERKESOini ia amat membantu mengurangkan beban saya termasuk menjelaskan komitmen seperti kereta, motosikal, keperluan harian dan kos perjalanan ke hospital," katanya sewaktu Ziarah Prihatin Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar di sini, semalam.

Menurutnya yang berkahwin pada Oktober 2021, dia berharap suaminya sedar dan sembuh seperti sedia kala.

"Suami masih koma. Keadaannya turun naik naik dan kadang stabil dan tidak. Cuma doktor cakap suami masih ada harapan untuk baik, sedar dan sembuh.

"Kecederaan suami membabitkan pendarahan dalam kepala, patah tulang pergelangan tangan kiri dan paha kiri.

"Harapan saya sangat tinggi untuk suami sembuh. Saya kenal suami ketika umur 17 tahun. Jadi, hidup saya banyak dengan dia. Saya nak dia balik rumah, sama ada sedar atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Sivakumar menyeru semua individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri mengambil iktibar dan mencontohi Hafizi yang melindungi diri dan keluarga dengan mencarum SKSPS.

"Saya difahamkan ramai orang bekerja sendiri gagal membuat caruman serta memperbaharui caruman tahunan SKSPS. Mengikut Malaysia Digital Economy Corporation, jumlah pekerja gig di seluruh negara dianggarkan 1.12 juta individu.

"Setakat 31 Disember tahun lalu, hanya 374,906 atau 33.5 peratus pekerja gig yang mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS, PERKESO

"Saya berpesan kepada semua khasnya orang bekerja sendiri supaya ambil tindakan pencegahan dengan berhati-hati ketika di jalan raya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan yang paling penting, pastikan anda memiliki skim perlindungan kerana bak kata pepatah, malang tidak berbau.

"Saya dimaklumkan, sepanjang 2022, seramai 1,509 gig rider di bawah perlindungan SKSPS terbabit kemalangan dan 32 daripadanya maut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 7:00 AM