KEJADIAN pokok tumbang di Jalan Bukit Genting. FOTO Ihsan JBPM
KEJADIAN pokok tumbang di Jalan Bukit Genting. FOTO Ihsan JBPM
Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang di Jalan Bukit Genting, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, turut menyebabkan kesesakan melebihi lima kilometer (km) susulan laluan berkenaan terputus hubungan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan pada jam 8.18 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk penyelia ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati beberapa pokok besar tumbang merentangi jalan ekoran hujan lebat dan angin kencang.

"Pasukan penyelamat menggunakan gergaji rantai bagi memotong sebelum mengalihkan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zaiful Arif berkata, operasi berkenaan turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Katanya, didapati kejadian itu tidak membabitkan mangsa namun menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga lima km dari arah Bayan Lepas.

"Difahamkan kebanyakan yang terkandas ialah pelajar di sebuah kolej tempatan yang dijangka menduduki ujian pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:18 PM