ANGGOTA APM Kota Setar memotong pokok yang tumbang dan menghalang laluan di Titi Gajah dalam kejadian angin kencang dan ribut di Titi Gajah. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Kota Setar memotong pokok yang tumbang dan menghalang laluan di Titi Gajah dalam kejadian angin kencang dan ribut di Titi Gajah. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


HUJAN lebat serta angin kencang yang melanda Alor Setar malam tadi menyebabkan dua pokok di kawasan Titi Gajah, di sini tumbang dan menghempap dua kereta.

Bagaimanapun, dalam kejadian tengah malam tadi, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit dilaporkan selamat.

Pegawai Operasi APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mohamad Rizal Abd Razak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada 12.11 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati pokok tumbang itu turut menghalang laluan jalan selain menghempap dua kereta berkenaan.

"Anggota kami seramai 13 orang yang tiba di lokasi mengambil masa kira-kira 21 minit untuk memotong dan membersihkan kawasan pokok tumbang di situ.

"Selain itu, orang awam juga dinasihatkan lebih berhati-hati ketika musim hujan dan ribut bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

"Sebarang laporan mengenai pokok tumbang atau ribut boleh membuat laporan di 999 atau talian hotline APM Kota Setar (Operasi) 04-7323801 atau 04-7323810," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 10:54 AM