BOMBA dan agensi berkaitan membantu pembersihan dan kawalan trafik Jalan Teluk Kumbar. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA dan agensi berkaitan membantu pembersihan dan kawalan trafik Jalan Teluk Kumbar. FOTO Ihsan Bomba.
Zuhainy Zulkiffli


JALAN Teluk Kumbar dekat Balik Pulau, hari ini sesak teruk selepas beberapa pokok tumbang disebabkan hujan lebat tiga jam bermula 6 pagi.

Kesesakan dilapor berlaku di kedua-dua arah jalan itu.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balik Pulau ke lokasi sebaik menerima maklumat.

Katanya, operasi turut disertai polis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kejadian menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah berikutan waktu kemuncak.

"Kerja pembersihan dan pengalihan pokok siap pada 9.40 pagi," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan dan ribut petir pada 3.35 hingga 6 pagi di beberapa negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 11:17 AM