Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa

Kota Bharu: PAS menegaskan mana-mana ahli parti itu layak menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti termasuk Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya belum memutuskan senarai calon yang bakal bertanding.

"Mana-mana ahli PAS berhak menjadi calon yang sesuai dan mesti lah calon itu boleh memberi kemenangan. Semua orang adalah antara calon PRN dan kita belum putuskan lagi.

"Senarai pendek sudah ada dan sudah tentu kita akan gabungkan calon lama dan baru. Semua kawasan sudah ada calon namun kita kini nak tentukan calon yang boleh beri kemenangan kepada parti. Kita jangkakan senarai calon akan diputuskan minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan 'PAS Pilihanku' di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammas IV, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi semua enam negeri pada PRN nanti, Takiyuddin berkata pihaknya optimis.

"Kita agak optimis namun dalam keadaan berhati-hati terutama di tiga negeri yang bukan dibawah pentadbiran kita seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Kita membayangkan mempunyai harapan yang baik, namun semua jentera perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan milik kita," katanya.

DATUK Seri Takiyuddin Hassan. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Takiyuddin Hassan. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, PAS menerima kemasukan ahli baru seramai hampir 20,000 orang dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Takiyuddin berkata, setiap bulan purata yang mahu menyertai PAS sekitar 3,000 hingga 4,000 membabitkan pelbagai peringkat umur.

"Momentum kemasukan ahli baru ini semakin bertambah terutama menerusi program yang diadakan oleh PAS termasuk di Selangor dan Negeri Sembilan. Rakyat sentiasa tunjuk mahu bersama kita.

"PAS sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai tanpa sebarang paksaan, asalkan mereka menepati syarat.

"Kita juga mengalu-alukan kemasukan rakan-rakan kita dari UMNO atau yang tidak berparti, sama ada masuk PAS atau BERSATU atau menjadi ahli terus kepada Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Pada ceramah berkenaan, Ahmad turut menyarungkan jaket PAS kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sebagai simbolik bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menyertai PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 7:48 AM