Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Kota Bharu: "Jadikan saya pilihan terakhir sebagai calon PAS untuk bertanding," kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa, ketika ditanya sekiranya diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata urusan penentuan calon diserahkan kepada pucuk pimpinan dan mengakui tidak kisah jika dia tidak bertanding.

Katanya, dia menyertai PAS bukan sebagai calon semata-mata sebaliknya ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

"Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan UMNO tak menang.

"Jika diberikan mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan PAS, bagi mengetahui untuk tujuan apa diamanahkan berbuat demikian.

"Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak-anak muda atau calon dalam kalangan ahli PAS yang sudah lama dengan parti ini, lagipun, saya masih baru dalam PAS," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan 'Pas Pilihanku'di dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

AHMAD Yakob  (kiri) bersama Takiyuddin (kanan) menyarungkan jaket parti PAS kepada Annuar ketika Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan 'PAS Pilihanku' di dataran Warisan Stadium Sultan Muhammas IV, di sini, malam tadi.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AHMAD Yakob (kiri) bersama Takiyuddin (kanan) menyarungkan jaket parti PAS kepada Annuar ketika Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan 'PAS Pilihanku' di dataran Warisan Stadium Sultan Muhammas IV, di sini, malam tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Terdahulu, Annuar mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana menerima beliau sebagai ahli biasa dan membenarkannya berkhidmat pada parti itu pada akhir hayat kehidupannya pada usia 67 tahun.

Annuar berkata, beliau tidak boleh berhenti daripada politik walaupun sudah mencuba selama beberapa bulan tanpa berada dalam mana-mana parti.

"Tidak mengapa jadi orang kecil walaupun dahulu saya menjadi orang besar ketika berada dalam UMNO. Saya reda jadi orang kecil kerana perjuangan PAS lebih istiqamah.

"Perjuangan PAS tidak ada yang berselindung dan ternyata dalam hal ini PAS membuktikan mereka parti yang lebih istiqamah. Biarlah jadi orang kecil dalam kapal yang besar dan nakhoda yang ramai," katanya.

Mengulas lanjut Annuar berkata, keputusannya menyertai PAS bukannya perkara mudah memandangkan sudah 50 tahun mengabdikan diri dalam UMNO.

"Sebelum ini saya cuba untuk tidak duduk dalam mana-mana parti. Saya cuba selama enam bulan, namun tidak mampu kerana politik sudah sebati dengan saya.

"Akhirnya pada 1 Rejab ketika berada di Makkah, saya menghubungi Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk memaklumkan saya mahu menyertai parti itu.

"Tiada siapa yang suruh sertai PAS sebaliknya saya lakukan dari hati yang ikhlas kerana mahu perjuangkan agama dan bangsa serta tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 8:11 AM