NURUL Izwa Hasnida tidak menduduki SPM dan kini menjadi tukang cuci di sebuah sekolah. FOTO ihsan Nurul Izwa Hasnida Mohd Yusof
NURUL Izwa Hasnida tidak menduduki SPM dan kini menjadi tukang cuci di sebuah sekolah. FOTO ihsan Nurul Izwa Hasnida Mohd Yusof
Redzuan Muharam


Kuantan: Ketika remaja seusianya menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Khamis lalu, Nurul Izwa Hasnida Mohd Yusof pula hanya dapat melihat kejayaan daripada jauh.

Ia kerana gadis itu tidak berpeluang menduduki peperiksaan SPM kerana berhenti sekolah lebih awal iaitu ketika di Tingkatan Dua kerana ada masalah tidak dapat dikongsikan.

Nurul Izwa Hasnida yang juga anak yatim piatu kemudian menyambung pelajaran di sebuah madrasah namun berhenti selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berhasrat untuk masuk ke asrama semula.

Bagaimanapun, keluarga tidak mengizinkan kerana enggan masalah sama berulang.

Kisah Nurul Izwa tular di TikTok selepas berkongsi perihal dirinya yang tidak menduduki SPM dan kini mencari rezeki sebagai tukang cuci di sekolah.

Bercerita lanjut, Nurul Izwa berkata, niatnya berkongsi video berkenaan sekadar untuk meluahkan perasaannya.

"Hari berkenaan saya nampak ramai kongsi video mereka mengambil keputusan SPM.

"Saya gembira lihat kejayaan mereka walaupun tak dapat lalui pengalaman sama kerana berhenti sekolah lebih awal.

"Tiada niat pun nak raih simpati kerana sudah ditakdirkan perjalanan saya begini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia bersyukur kerana perkongsiannya itu mendapat reaksi positif daripada netizen.

"Tiada yang kecam sebaliknya ramai doakan saya.

"Terima kasih saya ucapkan dan semoga doa yang baik berbalik kepada mereka," katanya.

Nurul Izwa berkata, dia belum ada perancangan untuk mendaftar sebagai calon SPM persendirian pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya mahu kerja dulu dan ikutkan baru sebulan jadi tukang cuci, itu pun gantian saja. Sebelum itu, saya berniaga di depan rumah saja.

"Kini waktu kerja saya adalah daripada 7 pagi sampai 4 petang dengan upah RM45 sehari.

"Saya syukur ada kerja kerana dapat juga tampung keperluan diri tanpa bebankan adik beradik lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 3:35 PM