Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


“NURUL Syuhada Abdul Nasir Idris telah pun dibenarkan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau mengesahkan pelajar cemerlang berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang di Parit Buntar boleh menduduki SPM minggu hadapan.

Kebenaran itu dinyatakan Maszlee melalui laman Facebook miliknya, selepas kisah pelajar itu yang dilarang menduduki peperiksaan berkenaan kerana tiada kad pengenalan disiarkan media termasuk NSTP hari ini.

Maszlee dalam status Facebook menulis: “Perkara ini telah pun disiasat dan Nurul Syuhada telah pun dibenarkan untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dan kepada Nurul Syuhada, teruskan berjuang dan semoga berjaya!

“KPM (Kementerian Pendidikan) akan pastikan hal ini tidak berulang lagi selari dengan pelaksanaan zero reject policy (dasar penolakan sifar) yang diumumkan baru-baru ini.”

NSTP hari ini menyiarkan kisah Nurul Shuhada yang dirundung malang apabila pihak sekolah memaklumkan dia tidak dibenarkan menduduki SPM kerana tiada kad pengenalan dan statusnya sebagai ‘tiada kewarganegaraan’.

Lebih menyedihkan, dia yang ibu bapa kandungnya berasal dari Kemboja, adalah pelajar cemerlang di sekolahnya.

Dia yang lahir di negara ini dijaga ibu bapa angkat warga tempatan sejak dari kecil manakala ibu bapa kandungnya sudah lama pulang ke negara asal.

Wakil keluarga angkat pelajar itu, Mohd Khalid Fatharuddin, 58, pula dilaporkan berkata pihaknya merayu campur tangan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Maszlee selaku Menteri Pendidikan untuk mempercepatkan rayuan kelulusan Nurul Syuhada bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia sebelum bermulanya SPM.

Katanya, rayuan permohonan taraf kewarganegaraan Nurul Syuhada kali pertama dikemukakan keluarga angkat pelajar itu kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak pada tahun 2013 diikuti tiga tahun kemudian namun gagal atas alasan status pelajar itu bukan warganegara meskipun sudah dipelihara keluarga angkat sejak lahir.

Nurul Syuhada memperolehi 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), diikuti keputusan 8A, 1B dan 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 6A dalam ujian percubaan SPM baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 1:09 AM