PAT cuba lakukan agar bangsawan seronok didengar dan penonton tidak mengantuk.
PAT cuba lakukan agar bangsawan seronok didengar dan penonton tidak mengantuk.
Amirul Haswendy Ashari


Teater bangsawan sering dikaitkan sebagai seni pementasan tradisional yang membosankan segelintir golongan muda. Disebabkan itu, mereka lebih gemar menghadiri teater muzikal dan moden yang lebih rancak dan kena dengan selera mereka.

Bagi memastikan seni bangsawan itu kekal dalam tradisi Melayu, Pat Ibrahim melalui syarikat produksinya, Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) cuba memberi kelainan dalam projek sulung teater Bangsawan Dendam Laksamana.

Katanya, dia sudah terbabit dalam banyak pementasan muzikal dan moden sebelum ini tetapi ini projek pertama untuk bangsawan.

“Melalui projek ini, mesej yang ada dalam kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tetap sama, cuma ia perlu diterjemahkan dalam bentuk bangsawan.

“Pemahaman saya, bangsawan itu adalah pementasan muzikal. Ia adalah pentas terbaik untuk melihat santun Melayu. Semua elemen dalam seni pementasan muzikal ada dalam bangsawan kerana pada akhir cerita, ia tetap hiburan yang dipersembahkan kepada penonton,” katanya.

Mengenai pemilihan judul itu, Pat akui kisah mengenai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang adalah cerita yang sudah lama didengari ketika membesar.

Katanya, banyak persoalan yang bermain dalam fikirannya seperti cuba mencari sisi kemanusiaan bagaimana terjadinya peristiwa itu. Apatah lagi kisah itu pernah ditulis dalam lembaran sejarah.

“Walaupun ada elemen sensitif yang dianggap membuka pekung Sultan Mahmud ketika itu, saya melihat pementasan ini sebagai paparan kepincangan fitrah manusia, terutama membabitkan isu dendam dan sebagainya.

“Ia berbalik pada ajaran Islam mengenai cara manusia berdepan dengan dugaan atau erti kata lain, reda dengan ketentuan takdir.

“Banyak pengajaran boleh diperoleh dan hanya sebahagian daripada peradaban itu patut dicari melalui sudut lain,” katanya.

Pengarah dan koreografer itu bersyukur mendapat sokongan serta bantuan daripada rakan industri yang sanggup bekerja dalam bajet yang ketat.

Antara mereka Siti Jasmina Ibrahim sebagai penulis skrip teater, Zulkifli Zainal Abidin sebagai koreografer silat, Hamzah Tahir, Dr Norzizi Zulkifli, Megat Sharizal, Anwar Rusdini, Nadia Aqilah, Pekin Ibrahim, Shahrul Mizad dan ramai lagi yang disifatkan sebagai nama besar dalam seni pementasan teater.

Pat enggan mendedahkan kos penerbitan teater itu tetapi mengakui kos pembikinan tetap mencecah enam angka.

Selain kerjasama daripada penggiat teater, Pat juga bersyukur kerana agensi separa kerajaan turut menyatakan hasrat untuk membantu.

Pementasan teater ini juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada badan kerajaan lain dek usaha ditunjukkan PIPE untuk memartabatkan seni persembahan teater bangsawan ke peringkat lebih tinggi.

Anak seni yang mula dikenali selepas pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang lebih sedekad lalu akui cabaran utama pementasan ini adalah bahasa bangsawan yang begitu estetika.

“Kami berlatih selama sebulan dengan tenaga kerja hampir 60 orang termasuk pelakon. Cabaran utama kami adalah skrip yang panjang dengan suntikan bahasa Melayu tinggi.

“Kami berusaha untuk melakukannya agar ia seronok didengar dan diterjemahkan semula kepada penonton supaya mereka tidak mengantuk,” katanya ketawa.

Selain Bangsawan Dendam Laksamana yang akan dipentaskan pada 10, 11 dan 12 November di Auditorium DBKL, Pekan Bangsawan Warisan Budaya juga diadakan sebagai usaha PIPE untuk berkongsi pengalaman sepanjang latihan kepada penggiat seni yang berminat.

Acara berupa bengkel teater di MATIC, Jalan Ampang itu bakal menyaksikan hampir 300 penggiat teater seluruh negara berkampung selama tiga hari, bermula 6 hingga 9 November.

Skrip ibarat kitab buat Pekin

Dek cabaran dialog panjang dan bahasa Melayu tinggi, Pekin Ibrahim menjadikan skrip pementasan Bangsawan Dendam Laksamana bagai kitab hafalannya setiap hari.

Pekin atau Mohd Iznan Ibrahim akui ini kali pertama terbabit dalam pementasan teater bangsawan walaupun sudah terbabit dengan pementasan teater sebelum ini.

“Jujurnya saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada Pat untuk tawaran itu walaupun asalnya saya memang teringin hendak bekerja dengannya.

“Tapi tak sangka pula terbabit dalam bangsawan. Ternyata menjayakan pementasan bangsawan membuatkan saya tertekan. Dialog bahasa bangsawan berbeza dengan dialog biasa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Selama ini skrip diterima hanya dijadikan rujukan dalam lakonan tetapi kali ini skrip dibawa ke hulu hilir, malah ditelaah setiap malam sebelum tidur,” katanya.

Pekin ibaratkan seolah-olah dia sedang berdepan dengan peperiksaan wajib ketika zaman persekolahan suatu ketika dulu. Dia juga perlu menyanyi, bersilat dan bermain alat muzik serunai.

Bagi mantapkan lakonan, Pekin menjalani latihan silat selama dua minggu. Malah dia juga menonton filem lama lakonan Nordin Ahmad bagi mendapatkan gaya lakonan bangsawan.

“Untuk teater ini, saya berikan lebih 100 peratus fokus. Terpaksa tolak tawaran lakonan lain walaupun sibuk dengan proses suntingan filem KL Wangan dan filem terbaru Mamat Khalid hujung bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:01 AM